
Terima Jemputan Berbuka Dari Nombor Tak Dikenali? Jangan Klik Pautannya
Taktik Terbaru Scammer Guna Jemputan Berbuka Puasa, Elak Klik Pautan APK. Bulan Ramadan ni memang penuh keberkatan, tapi sayangnya ada juga individu tak bertanggungjawab yang ambil kesempatan dengan taktik penipuan baharu.
Bekas pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kini bertindak sebagai duta anti-scam, Rahmat Fitri Abdullah, baru-baru ni mendedahkan dalam satu video di TikTok tentang modus operandi scam terbaru yang sedang berleluasa.

Jemputan Berbuka Yang Sebenarnya Perangkap
Menurut Rahmat, scam ini bermula dengan mesej WhatsApp atau aplikasi lain yang nampak mesra dan tidak mencurigakan. Isinya? Jemputan berbuka puasa. Siapa je tak tersentuh kalau ada orang ajak berbuka, kan?
Tapi jangan mudah percaya. Mesej tu biasanya disertakan dengan dokumen atau pautan yang ada tulisan .APK. Kalau nampak je benda ni, JANGAN KLIK!
“Perhatikan jika ada terima sebarang mesej daripada nombor tidak dikenali yang menjemput anda untuk berbuka puasa. Mesej itu juga disertakan dengan dokumen atau pautan yang mempunyai tulisan APK. Jika terima mana-mana pautan sedemikian, janganlah klik,” kata Rahmat, menurut sumber media tempatan.
Kenapa Bahaya?
Pautan .APK ni sebenarnya bukan sekadar fail biasa, tapi sejenis aplikasi yang boleh mencuri data peribadi anda, termasuk nombor akaun bank dan maklumat peribadi lain. Sekali anda muat turun dan pasang aplikasi tu, scammer boleh akses telefon anda tanpa disedari.
Sebarkan Kepada Orang Ramai
Rahmat juga mengingatkan agar info ini dikongsi kepada semua, terutama mereka yang kurang mahir menggunakan telefon pintar. Kita semua ada mak, ayah, pakcik, makcik yang mungkin lebih mudah terpedaya dengan taktik macam ni.
Jadi, sebelum teruja nak terima jemputan berbuka puasa dari nombor tak dikenali, pastikan anda berhati-hati dan jangan klik sebarang pautan mencurigakan.
Baca juga artikel yang pernah kami terbitkan mengenai taktik-taktik scammer:



