
PETALING JAYA – Ketakutan kehilangan isteri, ego tercabar dan ketidakmampuan menerima hakikat rumah tangga bakal berakhir boleh mendorong sesetengah suami bertindak di luar batas kewarasan sehingga sanggup membunuh.
Pakar perunding keluarga (Kaunselor Berdaffar), Zumasni Rajikin berkata, ada lelaki yang tidak sanggup melepaskan isteri bukan semata-mata kerana masih menyayangi pasangan, tetapi turut didorong ketakutan kehilangan, ego serta kegagalan menerima hakikat bahawa dirinya tidak lagi dikehendaki.

Ujarnya, sesetengah suami menganggap perceraian sebagai kegagalan diri sehingga memilih untuk menghalang isteri daripada meninggalkan perkahwinan, meskipun hubungan itu sudah tidak dapat dipulihkan.
“Kalau saya tak dapat kau, orang lain pun tak dapat. Pemikiran seperti ini boleh timbul apabila seseorang terlalu takut kehilangan pasangan sehingga sanggup bertindak di luar kawalan.
“Dia tidak dapat terima bahawa isterinya mahu cari kebahagiaan sendiri. Sedangkan isteri yang meminta cerai mungkin sudah sampai ke tahap tidak mampu bertahan lagi,” katanya ketika dihubungi semalam.
Jumaat lalu seorang isteri yang juga penjawat awam ditikam tiga kali dipercayai akibat selisih faham dalam kejadian di Nilai, Negeri Sembilan.
Tambahnya, antara tanda amaran yang perlu diberi perhatian ialah ugutan terhadap keselamatan isteri, kemarahan melampau, sikap mengawal pergerakan pasangan serta keengganan menerima sebarang perbincangan mengenai masalah rumah tangga.
Katanya, suami yang tidak mampu urus emosi dan konflik dengan matang mungkin melihat hasrat perceraian sebagai ancaman terhadap dirinya, sekali gus meningkatkan risiko tindak balas agresif apabila berdepan penolakan.
“Sebab itu ada yang sampai membunuh. Orang lelaki ini benda paling dia tak suka dalam perkahwinan adalah perceraian. Sebab itu ramai kahwin dua tiga. Tak sanggup cerai yang lama.
“Sama kes macam ini, bila kena provokasi berulang kali, isteri asyik cakap ‘ceraikan aku..ceraikan aku’, suami makin tercabar…dia tertekan dan dia cari jalan pintas untuk segerakan senyapkan pergaduhan itu,” katanya.
Sementara itu, Pakar Kaunseling Keluarga, Hushim Salleh berkata, masalah kewangan, penyalahgunaan dadah, beban tanggungan keluarga dan kegagalan mengawal kemarahan antara faktor yang boleh memburukkan konflik rumah tangga sehingga membawa kepada keganasan termasuk pembunuhan.

Ujarnya, ada keadaan apabila isteri terpaksa menanggung sebahagian besar komitmen keluarga, termasuk bayaran rumah dan kenderaan, sedangkan suami tidak lagi mainkan peranan yang diharapkan sebagai pencari nafkah.
Katanya, tekanan berpanjangan boleh mencetuskan pertengkaran, sebelum berkembang menjadi penderaan emosi dan seterusnya keganasan fizikal apabila pelaku gagal mengawal kemarahan.
“Jika masih ada ruang untuk memperbaiki hubungan, pasangan boleh dapatkan khidmat kaunseling,” ujarnya.
Beliau turut mendedahkan bahawa berdasarkan pengalamannya mengendalikan kes rumah tangga, satu daripada 10 isteri sanggup menarik balik hasrat bercerai kerana takut diugut, dicederakan atau dibunuh pasangan.
Jelasnya, keadaan itu menunjukkan bahawa keputusan untuk kekal dalam perkahwinan tidak semestinya bermakna seseorang isteri masih bahagia, sebaliknya mungkin berpunca daripada ketakutan terhadap apa yang bakal berlaku jika dia memilih untuk pergi.
The post Takut ditinggal isteri, faktor suami bertindak ganas appeared first on Kosmo Online.


