Takut kenang nasib pemfitnah di akhirat

Entertainment
27 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Takut kenang nasib pemfitnah di akhirat

KETIKA temu bual ini dijalankan, Aliff Aziz mengambil peluang untuk meluahkan isi hati yang lebih dua tahun dipendam. Dia sedikit emosi. Namun tidak marah. Jelas apa yang diluahkan bersandarkan rasa kecewa. Bertahun-tahun menelan kecaman, tohmahan dan kejian, segalanya menjadi sebati. Dia terus menerus dihukum.

Malah, apabila dipilih menerajui pementasan Mansur & Liu, mula timbul suara-suara sumbang yang mempersoal kelayakan Alif.

Tambah lagi bila mana pengarah pementasan, Datuk M. Nasir menyifatkan sebagai pelakon kedua paling tampan di Malaysia (yang pertama entah siapa), bertambah kecoh seantero alam maya.

Ada yang boikot dan menghasut orang lain untuk turut sama memboikot Alif.

Alif dihukum atas kesalahan yang tidak perlu diceritakan kerana satu Malaysia tahu apa yang berlaku. Namun persoalannya sampai bila? Tidakkah netizen ini penat?

“Alhamdulillah, saya pada tahap yang mana saya kini tidak terkesan dengan komen negatif orang. Mereka bebas bercakap apa yang mereka mahukan. Saya bukan manusia sempurna, jauh sekali memperkecilkan kesalahan saya yang terdahulu. Cuma, usah ditambah beban yang saya tanggung selama ini.

“Saya bukan orang alim yang layak memberi nasihat. Hanya peringatan yang mampu saya kongsikan. Satu hari nanti, sama ada percaya, yakin atau tidak, apa yang kita perkatakan, kongsi, sebar akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

“Saya sedang perbaiki diri, tapi dalam masa sama pelbagai perkara negatif disebarkan tentang saya, yang mana saya tidak kenal pun siapa mereka yang menulis. Dalam hal ini, siapa yang menanggung dosa?

“Apa yang berlaku kepada saya, tidak sedikitpun memberi kesan kepada mereka. Tapi saya pelik apabila mereka pula tersakiti. Saya terfikir apalah nasib mereka di akhirat kelak kerana perlu menebus kembali dosa terhadap saya. Dalam Threads macam-macam perkara yang ditulis mengenai saya. Saya jadi takut, bukan kerana ia memberi kesan kepada saya, tapi anda yang menulis fitnah. Apa nasib mereka nanti,” ujarnya.

Image from: Takut kenang nasib pemfitnah di akhirat

Kata Alif, apa yang dikongsikan bukan kerana marah, tetapi sebagai tanggungjawab untuk menyampaikan supaya menjadi peringatan. Ketika saya murung dahulu, saya didatangi hamba Allah yang sudi memberi nasihat. Dia ibaratkan keadaan saya dengan tabung, yang sentiasa diisi pahala hasil makian dan kecaman orang.

“Nasihat itu mengubah persepsi saya dan menyelamatkan saya daripada melakukan perkara tidak sepatutnya.

“Saya yakin, apabila orang bercakap buruk tentang kita, ada dua perkara berlaku. Sama ada kita mendapat pahala atau dosa kita diampunkan. Mungkin ini kaedah untuk Allah menambah pahala saya dan mengampunkan dosa kita,” katanya lagi.

Dalam masa sama, pelakon drama Madu Atau Racun ini mahu memperbaiki dirinya, lebih-lebih lagi selepas perceraian dengan pelakon, Bella Astillah yang genap tiga tahun berlalu.

“Tidak perlulah saya bercerita kepada orang tentang proses yang saya lalui untuk memperbaiki diri, menebus kembali kesalahan lama. Biarlah perubahan itu saya mulakan dengan diri sendiri. Asalkan ikhlas untuk menjadi lebih baik di kemudian hari,” ujarnya.

Image from: Takut kenang nasib pemfitnah di akhirat

DOA YANG BAIK UNTUK BELLA, ANAK 

Alif lebih memilih untuk tidak mengulas mengenai bekas isteri, Bella Astillah dan anak-anaknya. Baginya perkara itu terlalu sensitif untuk dikongsi.

“Sejak saya bermula dalam industri sehinggalah sekarang, saya tidak pernah menolak apa sahaja soalan yang diajukan kepada saya.

“Tetapi, sekarang biarlah soal bekas isteri itu saya simpan sendiri. Bukan tidak mahu menjawab, tapi khuatir ia akan membuka ruang untuk orang mengecam dan menimbulkan spekulasi.

“Dan mengenai anak, ia terlalu peribadi untuk diulas. Saya tidak mahu hal personal menjadi perhatian. Ia perkara yang terlalu sensitif.

“Pada masa sama, ia tidak mendatangkan sebarang kebaikan kepada saya dan orang sekeliling saya. Cuma saya doakan yang terbaik buat Bella dan anak-anak saya,” katanya.

Image from: Takut kenang nasib pemfitnah di akhirat

TERIMA KASIH M NASIR 

Diberi kepercayaan menerajui pementasan Mansur & Liu arahan M. Nasir, Alif menganggap ia satu penghargaan besar buatnya yang tidak pernah terlibat dalam mana-mana teater, apatah lagi menontonnya.

Pelbagai persoalan bermain dalam benak fikirannya, sesuaikah, layakkah, bukankah ramai lagi pelakon hebat dan tampan di Malaysia?

“Saya masih berfikir-fikir sewaktu lulus uji bakat. Saya pasti, mesti ramai yang bercakap-cakap tentangnya.

“Apabila berbincang dengan keluarga, mereka meminta saya untuk tolak tepi benda yang di luar kemampuan saya kerana itu akan menambah lagi tekanan.

“Saya gembira kerana diberi peluang. Terima kasih kepada M. Nasir dan Marlia Musa. Dan terima kasih juga kepada tenaga kerja dan pelakon yang menerima saya, bersikap profesional dan tidak langsung bertanya soal peribadi.

“Tiada tanggapan negatif, sebaliknya positif belaka. Sokongan mereka membangkitkan semangat saya, mengubah persepsi yang hakikatnya, walaupun ramai yang mengeji, ramai juga yang sayang,” ujarnya.

The post Takut kenang nasib pemfitnah di akhirat appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved