
BENTONG – “Mesin basuh, dua peti ais, set bilik tidur dan barang dapur rosak. Sekarang tengah bersihkan rumah, nak hidupkan barang elektrik pun saya takut.”
Demikian luahan mangsa banjir kilat, Masrizal Sallehudin, 51, yang kini masih bergelut membersihkan kediamannya di sini selepas rumahnya di Kampung Cheringin Tengah, Janda Baik di sini dimasuki air secara mengejut petang semalam.
Menurutnya, kerja-kerja pembersihan masih dilakukan selepas air surut sepenuhnya sekitar pukul 10 malam tadi , manakala sebahagian barangan yang rosak terpaksa dibuang kerana tidak lagi boleh digunakan.
“Banyak barang rosak. Kereta Proton Wira, sebuah motosikal, mesin basuh, dua peti ais dan barang-barang dapur semuanya kena air.
“Barang makanan kering seperti beras pun terendam. Katil pula jenis bahan yang mampat, bila kena air memang terus mengembang dan tidak boleh digunakan lagi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Masrizal berkata, jumlah kerugian setakat ini dianggarkan sekitar RM15,000, namun nilai sebenar masih belum dapat dipastikan kerana sebahagian peralatan elektrik masih dalam keadaan basah.
“Barang elektrik saya memang takut nak hidupkan lagi. Peti ais pun saya tidak guna sebab masih basah. Jadi kerosakan sebenar memang belum dapat dianggarkan betul-betul. Kalau ikut barang yang nampak rosak dan terendam, mungkin dalam RM15,000,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Takut nak hidupkan barang elektrik’ appeared first on Kosmo Online.



