TalentCorp salur dana RM2 juta kepada Samenta tangani jurang bakat PKS

LocalBusiness & Finance
12 Aug 2025 • 6:13 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TalentCorp salur dana RM2 juta kepada Samenta tangani jurang bakat PKS

image is not available

12/08/2025 - 18:13

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Ogos – Talent Corporation Malaysia Berhad memperuntukkan dana berjumlah RM2 juta kepada ahli Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) dalam usaha menangani jurang bakat dalam sektor itu.

Dana tersebut disalurkan menerusi program Geran Padanan Latihan Industri Berstruktur Perusahaan Kecil dan Sederhana (LiKES), yang merupakan salah satu inisiatif utama TalentCorp bagi memperkasa bakat tempatan dalam kalangan PKS di negara ini.

Dana RM2 juta yang diperuntukkan oleh TalentCorp ini akan dipadankan oleh syarikat PKS yang mengambil bahagian, sekali gus menghasilkan jumlah elaun latihan industri berstruktur minimum sebanyak RM4 juta.

Langkah ini bertujuan meringankan beban kewangan PKS dalam menyediakan peluang latihan industri berstruktur yang berkualiti dan berbayar, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan serta membina tenaga kerja yang bersedia menghadapi cabaran industri.

Kerjasama strategik selama dua tahun ini dijangka mampu menyediakan sekurang-kurangnya 1,500 peluang latihan industri di kalangan PKS, dengan TalentCorp dan Samenta bekerja rapat untuk memanfaatkan rangkaian luas persatuan itu demi manfaat sektor PKS.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew berkata, peruntukan dana RM2 juta ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos latihan industri bagi PKS, tetapi juga menjadi pemangkin penting dalam menyediakan pengalaman praktikal yang bernilai kepada bakat muda negara.

“PKS adalah tunjang utama ekonomi Malaysia yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk terus berkembang.

“Dengan sokongan dana ini, kami berharap lebih banyak peluang latihan industri berstruktur dapat diwujudkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Presiden samenta, Datuk William Ng berkata, pihaknya menyambut baik peruntukan dana RM2 juta yang khusus untuk ahli persatuan itu dan optimis inisiatif ini mampu mengubah persepsi graduan terhadap peluang kerjaya di PKS.

“Dana ini memudahkan PKS menawarkan latihan industri yang menarik dan mampu bersaing dengan syarikat besar, dengan struktur organisasi yang lebih terbuka dan peluang pembelajaran yang menyeluruh.

Program LiKES dengan peruntukan sebanyak RM30 juta keseluruhannya menyediakan geran padanan bagi bayaran elaun bulanan pelatih yang menyertai latihan industri berstruktur dalam PKS dan syarikat permulaan.

Melalui inisiatif ini, TalentCorp dan Samenta komited memperkukuh pembangunan bakat tempatan dan memastikan sektor PKS kekal kompetitif dan berdaya saing. - DagangNews.com

standard