Talesocks Ketengah Stoking Bercorak Elemen Malaysia Dan Seni Batik

9 Apr 2024 • 9:02 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

PUTRAJAYA - Tampil dengan idea berbeza, usahawan muda Ahmad Afiz Danial Mohd Khairuddin memperkenalkan stoking bercorak atau art socks yang bertemakan batik dan elemen tempatan diberi nama Talesocks.

Anak muda kelahiran Negeri Sembilan itu berhasrat menjadikan stoking bertemakan batik sebagai cenderamata kenangan yang boleh dibeli oleh mereka yang berkunjung ke negara ini sama ada atas tiket melancong atau perniagaan. 

Berkongsi cerita dengan Bernama, Ahmad Afiz Dania berkata, beliau nekad meninggalkan kerjaya sebagai ahli pelaburan di syarikat yang menguruskan dana persaraan selepas melihat perniagaan stoking berpotensi untuk dikembangkan di negara ini.

"Balik dari belajar di luar negara, saya mula bekerja dan saya kerap kali ditanya pelanggan dan rakan sekerja berkenaan stoking yang saya pakai. Mereka tertarik dengan stoking yang bercorak serta bertanyakan di mana saya membelinya.

"Saya terfikir, ramai orang tanya tapi di Malaysia tak banyak pilihan stoking bercorak kerana kebanyakannya tanpa corak dan untuk sukan.

"Sepanjang minat saya mengumpul stoking bercorak tak jumpa lagi stoking yang bercorak elemen Malaysia seperti batik, manggis dan wau. Jadi, saya nampak peluang untuk kita mempamerkan apa yang ada di Malaysia kepada orang luar," katanya. 

image is not available

image is not available

Bermodalkan RM25,000 daripada simpanan peribadi, Ahmad Afiz Danial berkata, beliau dibantu ahli keluarganya memulakan perniagaan menjual stoking bercorak secara dalam talian pada 2019, sebelum dikembangkan kepada kiosk fizikal di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Menurutnya sehingga kini sebanyak 15 corak telah dipasarkan dalam kuantiti yang terhad dan mendapat sambutan hangat terutama daripada ekspatriat dan pelancong asing yang membelinya untuk dihadiahkan kepada keluarga dan kenalan mereka apabila pulang ke negara masing-masing.

Menggunakan fabrik combed cotton, beliau berkata stoking yang dijual pada harga RM49 sepasang itu, dibuat di kilang di China dan Malaysia bagi memenuhi permintaan.

"Dari segi keselesaan, Talesocks ni menggunakan combed cotton yang menjadikan stoking ini lebih tahan lasak, bila dipakai corak dan warna stoking kekal dan tak mudah lusuh apabila dibasuh.

"Selain keselesaan kami juga mementingkan ciri-ciri eksklusif iaitu setiap keluaran adalah terhad dan kalau habis satu keluaran stoking itu, kami keluarkan rekaan lain pula," katanya sambil berkata combed cotton lebih lembut berbanding fabrik kapas biasa.

image is not available

Pada masa depan, beliau bercadang mengeluarkan stoking yang bersesuaian untuk beriadah dan membuka peluang kepada mereka yang berminat untuk menjadi ejen Talesocks. 

"Kami juga ada perancangan untuk mengeksport produk ini ke Brunei, Indonesia dan Timur Tengah," katanya menambah pada masa ini produknya telah menembusi pasaran Singapura.

Selain kiosk fizikal, produk Talesocks boleh didapati di laman web, www.talesocks.com atau di media sosial Instagram dan TikTok, @talesocks. - BERNAMA

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved