Volvo ialah syarikat pertama memperkenalkan tali pinggang tiga titik dalam kenderaan mereka sebagai standard bagi mengurangkan kecederaan dalam kemalangan. Ia dicipta oleh jurutera Volvo Nils Bohlin pada tahun 1959 pada model Volvo Amazon dan Volvo PV544. Selepas 66 tahun, Volvo menyambung evolusi tali pinggang dengan ia kini boleh mengubah ketegangan ketika kemalangan mengikut saiz, berat, tinggi dan kedudukan tubuh pengguna.

Sensor dalam kenderaan akan memantau kesemua parameter tadi dan ketegangan tali pinggang akan diubah mengikut keperluan. Di pasaran sekarang tali pinggang mempunyai 3 tetapan had bebanan. Sistem baharu Volvo meningkatkannya ke 11. Ini sekaligus menjadikannya tali pinggang multi adaptif pertama di dunia.

Menurut Volvo lagi sistem ini akan terus dipertingkatkan dengan data yang terus dikumpul oleh mereka. Kemas kini secara OTA akan diberikan bagi menjadikan tali pinggang pintar ini semakin selamat selari dengan usaha Volvo menghasilkan kereta kalis kematian sejak 2016. Tali pinggang ini akan digunakan buat pertama kalinya pada Volvo EX60 yang akan mula dipasarkan tahun 2026.
