Talian penghantaran Sabah Electricity Sdn Bhd di Kg Tombovo diancam tanah runtuh

13 Jul 2022 • 12:57 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Pihak kerajaan diminta campur tangan dalam menyelesaikan isu tanah runtuh berhampiran tapak menara talian penghantaran Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di jalan Kampung Tombovo, Putatan, dekat sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah, berkata sudah banyak aduan dibuat sama ada melalui penduduk setempat maupun JPKK/MPKK sejak beberapa tahun lalu namun tiada tindakan penyelesaian jangka panjang dilakukan oleh SESB.

Menurut beliau, apa yang dilakukan oleh SESB hanyalah meletakkan kanvas untuk melindungi lereng bukit yang runtuh.

“Kanvas ini tidak akan mengelakkan hakisan tanah tersebut pada musim hujan kerana ia bertindak sebagai langkah pencegahan jangka pendek sahaja.

“Saya mendapat laporan daripada penduduk kampung bahawa runtuhan baharu berlaku semalam dan kanvas tersebut terselak.

“Situasi ini amat membimbangkan kerana kedudukan tiang menara tersebut terletak hanya beberapa meter dari kawasan runtuhan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Awang, yang juga Ketua Penerangan Parti Warisan, menambah, malapetaka mungkin akan berlaku jika menara tersebut tumbang.

“Ia akan mengakibatkan gangguan bekalan elektrik pada skala besar,” katanya.

Lokasi itu terletak betul-betul di tepi jalan yang merupakan jalan pintas dari jalan Penampang - Papar ke Putatan dan mempunyai kepadatan penduduk lebih dari 3,000 orang selain berhampiran kem Lok Kawi.

“Memandangkan banyak aduan sudah dibuat tapi tiada tindakan yang holistik daripada pihak SESB, pihak kerajaan harus campur tangan demi kebaikan bersama,” tegas Awang.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.