Taliban berhasrat perbaiki situasi di Afghanistan meskipun berdepan cabaran besar: Aktivis

2 Sep 2022 • 3:38 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Kerajaan sementara Afghanistan yang diketuai Taliban masih menantikan sokongan antarabangsa untuk membina semula negara itu yang terus bergelut dengan krisis kewangan, kemanusiaan dan imej.

Pengerusi Global Peace Mission Malaysia (GPM) Datuk Ahmad Azam Ab Rahman berkata menerusi bantuan kemanusiaan yang disalurkan pertubuhan itu ke Afghanistan, beliau melihat terdapat tanda-tanda bahawa Taliban cuba memperbaiki keadaan di negara itu sejak mula memerintah pada Ogos 2021.

GPM membuka Pusat Kemanusiaan Malaysia (MHC) di Kabul pada Februari lalu menerusi kerjasama NGO Afghanistan tempatan untuk menyedia dan mengagihkan bantuan kepada golongan yang memerlukan di negara ini.

Pusat itu dikendalikan tiga kumpulan bantuan dari Malaysia – MyCare, Global Wakaf, Global Ikhwan – dan empat NGO Afghanistan tempatan – Pertubuhan Kebajikan dan Sosial Ehsas, Persatuan Bantuan Kemanusiaan, Masyarakat Kebajikan Afghanistan dan Just for Afghan Capacity and Knowledge (JACK).

Aktivis itu yang kali terakhir melawat negara berkenaan pada Julai berkata aspek keselamatan di kawasan awam semakin baik sementara terdapat tanda-tanda bahawa rutin harian kembali normal.

“Situasi hampir seperti biasa, lelaki dan wanita ke kedai, ke bazar. Pejabat-pejabat hampir beroperasi seperti biasa, kecuali tiada pekerja wanita kelihatan.

“Anggota Taliban tidak lagi kelihatan di merata-rata, berbanding enam bulan pertama (selepas Taliban mengambil alih), di mana ketika itu banyak pusat pemeriksaan Taliban diwujudkan di pelbagai tempat dan orang ramai takut kerana keadaan tidak stabil,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar, di sini, Khamis.

Taliban menguasai Kabul pada 15 Ogos 2021 selepas tentera Amerika Syarikat (AS) yang telah menduduki negara itu lebih dua dekad berundur, dan pentadbiran Presiden Mohammad Ashraf Gani yang disokong AS berakhir.

Taliban menghadapi masalah kewangan sejak AS membekukan sebahagian daripada aset negara di akaun bank luar negara bernilai US$9.5 bilion tahun lepas.

Pemerintahan Taliban juga masih bergelut untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa di tengah-tengah memerangi imej buruknya di peringkat global kerana mengabaikan hak asasi manusia dan hak wanita.

“Kesimpulan saya ialah, melalui penelitian kami, kami lihat Taliban benar-benar mahu membantu membina semula negara mereka, mereka telah menyebut perkara ini berulang kali.

“Mereka merayu kepada dunia Islam untuk datang dan melabur di Afghanistan.

“Selagi sekatan tidak ditarik balik, bagaimana mereka hendak menguruskan negara dan bangkit semula,” katanya.

Ahmad Azam yang juga Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Tetap Bebas (IPHRC) Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berpendapat adalah penting agar kerajaan baharu itu diiktiraf oleh negara-negara lain bagi membenarkan lebih banyak bantuan kewangan dan kerjasama bagi Afghanistan.

“Misi saya adalah untuk melibatkan diri dan menilai keadaan daripada segi politik, ekonomi. Kita mesti berusaha ke arah mengiktiraf Afghanistan,” katanya.

Sehingga kini, tiada negara yang mengiktiraf kerajaan Taliban yang dinamakan semula sebagai Emiriah Islam Afghanistan.

Ahmad Azam juga berharap lebih banyak syarikat Malaysia akan meneroka kemungkinan menjalinkan perdagangan dengan Afghanistan.

“Mereka mempunyai banyak produk berkualiti tinggi seperti buah-buahan dan kacang.

“Perdagangan akan menjadi cara terpantas untuk membantu mereka menjana sedikit pendapatan,” kata Ahmad Azam yang juga penasihat khas Menteri Luar Malaysia mengenai Afghanistan.-Bernama

View Original Article