
SHAH ALAM, 4 DIS: Taman Anggerik Shah Alam di Taman Tasik Shah Alam hari ini dirasmikan sebagai sebuah pusat pendidikan alam dan pameran flora baharu yang bakal menjadi tarikan penting kepada penduduk serta pelancong.
Projek seluas lima ekar itu dibangunkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersama Kelab Anggerik Shah Alam Selangor dengan kos RM4.7 juta.
Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata taman tersebut menempatkan rumah kaca, sungai buatan dan Plaza Anggerik sebagai lokasi pembelajaran serta pameran koleksi anggerik tempatan dan antarabangsa.

"Antara komponen utama di Taman Anggerik termasuk rumah kaca, sungai buatan dan Plaza Anggerik yang direka sebagai ruang interaksi pengunjung untuk mengenali lebih dekat dunia flora.
"Taman Anggerik ini bukan sekadar destinasi rekreasi, tetapi juga bakal menjadi pusat pendidikan bunga anggerik kepada masyarakat, pelajar dan pencinta flora," katanya dalam ucapan perasmian pagi ini.
Selain pameran flora, majlis turut dimeriahkan dengan acara jualan pokok bunga, pertandingan anggerik dan demonstrasi gubahan bunga segar yang menarik minat pengunjung dari pelbagai peringkat umur.

Mohd Fauzi berkata usaha ini secara langsung menyokong agenda MBSA dalam memelihara kehijauan bandar dengan menyediakan ruang yang bukan sahaja cantik, tetapi juga mendidik masyarakat tentang kepentingan flora dalam kehidupan seharian.
“Kita berharap pembinaan Taman Anggerik dapat menggalakkan warga Shah Alam untuk bersama-sama memelihara serta menjadi penyumbang kepada landskap hijau bandar raya.
“Selain itu, taman anggerik ini juga merupakan antara produk pelancongan baharu yang akan menjadi pusat pendidikan bunga anggerik kepada pengunjung,” katanya.
Terdahulu, majlis perasmian disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.
Keberangkatan tiba Baginda pada 10.30 pagi disambut oleh isteri Dato’ Menteri Besar Datin Seri Masdiana Muhamad, serta Mohd Fauzi.
Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan menandatangani plak perasmian sebelum berangkat melawat ruang pameran dan rumah kaca anggerik pada majlis berkenaan.







