Taman Kucing Cyberjaya selamatkan 235 kucing, jadi tarikan sukarelawan, pelancong

LocalPets
21 May 2026 • 5:49 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Taman Kucing Cyberjaya selamatkan 235 kucing, jadi tarikan sukarelawan, pelancong

SHAH ALAM, 21 MEI: Sejumlah 235 kucing diselamatkan dan dirawat di Taman Kucing Cyberjaya sepanjang operasi dijalankan sejak tiga tahun lalu.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Mohd Faizal Abdul Raji berkata, daripada jumlah itu 172 kucing sudah diambil orang ramai menerusi program Take Me Home setakat bulan ini.

Menurut beliau, program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak termasuk agensi pendidikan, badan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat korporat.

“Program itu banyak dilakukan agensi pendidikan, NGO dan syarikat korporat,” katanya ketika mesyuarat bulanan MPSepang hari ini.

Beliau menjelaskan pembukaan taman berkenaan bukan sekadar menjadi pusat perlindungan haiwan terbiar, malah berjaya menarik penyertaan sukarelawan dalam aktiviti komuniti.

Katanya, seramai 70 sukarelawan terlibat menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang pelaksanaan inisiatif itu.

Mohd Faizal berkata, penglibatan masyarakat dalam aktiviti kebajikan haiwan turut membantu meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesejahteraan haiwan.

“Taman Kucing Cyberjaya juga membantu menyemarakkan lagi industri pelancongan khususnya di daerah Sepang,” katanya.

Beliau turut memaklumkan program berkenaan memberi pendedahan lebih meluas kepada masyarakat mengenai penjagaan dan kebajikan haiwan peliharaan.

“Program ini juga dapat mendidik dan memberikan pendedahan meluas kepada orang ramai terhadap kepentingan kesejahteraan haiwan,” katanya.

View Original Article