Taman Negara Tutoh Apoh: Etnik Asal Bantah Cadangan Warta Tanah Adat

LocalPolitics
8 Aug 2024 • 9:11 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ketua komuniti Tering-Berawan Denis Along (tiga dari kiri) bertemu pegawai Perbadanan Perhutanan Sarawak di Miri untuk menyampaikan surat bantahan rasmi. – Gambar Facebook

MIRI – Penduduk asal dari kumpulan etnik minoriti Tering-Berawan di utara Sarawak membantah rancangan kerajaan negeri mewujudkan Taman Negara Tutoh Apoh yang baharu, dengan alasan ia akan menyebabkan mereka kehilangan tanah adat mereka masing-masing.

Ketua komuniti Tering-Berawan, Denis Along, berkata, beliau telah bertemu pegawai dari Perbadanan Perhutanan Sarawak di Miri untuk mengemukakan surat bantahan rasmi.

Denis berkata, komuniti mereka dimaklumkan bahawa Taman Negara Tutoh Apoh dicadangkan sebagai sambungan kepada Taman Negara Mulu, yang merupakan tapak warisan dunia dengan sistem gua terbesar di dunia.

"Cadangan mewujukan Taman Negara Tutoh Apoh akan menyebabkan kawasan hutan yang besar bersebelahan Taman Negara Mulu akan diambil alih oleh negeri.

"Nenek moyang kami dari komuniti Tering-Berawan menetap di kawasan itu berabad-abad yang lalu, dan kubur  mereka masih dapat dilihat di sana hingga kini.

"Kami membantah langkah mewartakan Taman Negara Tutoh Apoh yang baharu kerana ini akan menyebabkan tanah warisan kami diambil alih oleh negeri dan diletakkan di bawah bidang kuasa Perbadanan Perhutanan Sarawak.

"Orang Tering-Berawan akan kehilangan hak tanah dan kami amat membantah rancangan ini," katanya.

Dakwa Denis lagi, tapak sebuah resort lima bintang, Marriott Mulu satu ketika dahulu merupakan tanah adat Tering-Berawan.

Komuniti tersebut ingin mempertahankan hak ke atas semua tanah mereka dan tidak akan menyerahkannya kepada negeri, kata beliau.

Mulu terletak kira-kira 200 km dari bandar Miri. Ia merupakan lokasi terletaknya 'The Sarawak Chamber', gua terbesar di dunia yang boleh memuatkan 40 pesawat Boeing 737. – Getaran, 8 Ogos 2024