Tambah 400 Meter, PM Umum LTSIP Bakal Jadi Lapangan Terbang Antarabangsa

LocalPolitics
3 May 2024 • 10:54 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) akan menjadi lapangan terbang antarabangsa selepas meninjau fasiliti dan kemudahan yang disediakan di terminal baharu LTSIP fasa satu yang sudah mula beroperasi.

Menerusi satu laporan Sinar Harian, Anwar memaklumkan bahawa kerajaan bersedia untuk menambah 400 meter lagi landasan di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan semalam.

image is not available

Foto: FB Anwar Ibrahim

“Penambahan itu akan menjadikan LTSIP sebagai lapangan terbang antarabangsa.

“Kita akan laksanakan secepat mungkin. Bila siap nanti jemaah haji akan terbang terus dari Kota Bharu ke Jeddah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 bersama Perdana Menteri Peringkat Negeri Kelantan yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu.

Beliau juga berkata bahawa kerajaan MADANI sangat terbuka untuk mendengar setiap permasalahan diutarakan oleh rakyat dan akan melaksanakannya sebagai memenuhi tanggungjawab kepada kepercayaan yang diberikan rakyat.

image is not available

Foto: FB UPKN Kelantan

“Fokus kerajaan ketika ini melaksanakan amanah yang telah diberikan oleh rakyat,” ujar beliau.

Sementara itu, pengoperasian fasa pertama terminal LTSIP dikatakan mampu menampung sehingga 1.5 juta penumpang manakala pembinaan fasa kedua yang akan dilaksanakan serta-merta pula dijangka dapat menampung seramai empat juta penumpang.

Selain itu, terminal baharu tersebut memiliki lebih 20 kaunter penerbangan, parkir kenderaan bertingkat, laluan khas untuk pemandu teksi, balai bomba dan penyelamat terminal, pertambahan ruang tempat meletak kapal terbang dan sistem operasi tanpa tunai LTSIP bagi memberi kemudahan kepada penumpang.

image is not available Foto: FB UPKN Kelantan

Untuk makluman, projek pembesaran dan menaik taraf LTSIP tersebut melibatkan kos sebanyak RM440 juta.

Sumber: Sinar Harian (Hazelen Liana Kamarudin)