Tambahan 800,000 liter minyak diesel untuk nelayan di Sandakan

LocalBusiness & Finance
5 Mar 2025 • 3:36 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Winnie Kasmir

SANDAKAN: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan meluluskan peruntukan tambahan 800,000 liter minyak diesel bersubsidi bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan untuk aktiviti perikanan nelayan di sini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata peruntukan tambahan tersebut merupakan langkah sementara.

“Kementerian telah mengambil langkah sementara dengan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak 800,000 liter, termasuk pengagihan semula dari jeti yang tidak beroperasi.

“Jika peruntukan tersebut tidak digunakan dalam tempoh enam bulan selepas kelulusan, ia akan dikaji semula dalam mesyuarat pengagihan seterusnya untuk mengelakkan gangguan kepada operasi perikanan di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian semas menjawab soalan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong di Kamar Khas Dewan Rakyat, pada Sidang Pertama, Penggal Keempat, Parlimen Ke-15, pada Selasa.

Terdahulu, Vivian menyatakan nelayan di Sandakan telah diperuntukkan kira-kira 2.7 juta liter subsidi diesel setiap bulan, namun sejak Julai tahun lalu, 400,000 liter daripadanya dikatakan telah dipotong dan dialihkan kepada dua jeti baharu, yang sehingga kini masih belum beroperasi.

Selain itu, Vivian turut mempersoalkan pelaksanaan Projek Kompleks Pendaratan Ikan di Sandakan.

Joseph menjelaskan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedang menjalankan kajian kesesuaian tapak, Penilaian Impak Sosial (SIA), dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) untuk menilai keberkesanan pelaksanaan projek tersebut di lokasi berkenaan.

“Cadangan projek ini akan dirancang berdasarkan hasil kajian yang telah selesai dan akan dikemukakan untuk pertimbangan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13),” jelas Joseph.

Untuk rekod, Kompleks Pendaratan Ikan ini telah diumumkan untuk dibina di Bandar Leila, pada 2020.

Projek seluas 20 ekar itu merangkumi kawasan darat dan laut di mana fasiliti bilik sejuk, kilang ais, tempat pendaratan bot dan pusat jualan diesel bersubsidi akan disediakan.