Tambang ECRL ambil kira kemampuan pengguna, diumum akhir tahun ini

LocalBusiness & Finance
7 Sep 2026 • 3:30 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tambang ECRL ambil kira kemampuan pengguna, diumum akhir tahun ini

PETALING JAYA – Kadar tambang perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) masih belum dimuktamadkan dan hanya akan diumumkan secara rasmi menjelang akhir tahun ini.

Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) berkata, maklumat mengenai kadar tambang ECRL yang kembali tular di media sosial baru-baru ini adalah tidak tepat dan tidak pernah disahkan mana-mana pihak berkuasa.

Menurut MRL, kadar tambang rasmi bagi perkhidmatan penumpang ECRL hanya akan diumumkan Kementerian Pengangkutan selepas proses penilaian dan kelulusan berkaitan dimuktamadkan.

“Insya-Allah, penetapan kadar tambang ECRL kelak akan mengambil kira kepentingan rakyat, kemampuan pengguna serta nilai dan kualiti perkhidmatan yang bakal ditawarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, MRL menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian atau kesimpulan berdasarkan maklumat yang tidak disahkan.

Sebaliknya, orang ramai diminta merujuk kepada pengumuman melalui saluran rasmi Kementerian Pengangkutan Malaysia, MRL dan ECRL.

Dalam pada itu, MRL menghargai keterujaan serta minat orang ramai terhadap perkhidmatan ECRL yang bakal menjadi pilihan pengangkutan baharu kepada rakyat.

Apabila beroperasi kelak, perjalanan antara Kota Bharu dan Gombak dijangka mengambil masa sekitar empat jam, manakala Kuala Terengganu–Gombak sekitar tiga jam dan Kuantan–Gombak kira-kira satu jam 35 minit.

MRL berkata, ECRL bukan sahaja menawarkan pilihan pengangkutan baharu, malah bakal membawa perubahan besar kepada mobiliti antara Pantai Timur dan Lembah Klang.

“​Kami memahami keterujaan rakyat untuk mengetahui kadar tambang ECRL. Nantikan pengumuman rasmi menjelang akhir tahun ini,” katanya.- KOSMO! ONLINE.

The post Tambang ECRL ambil kira kemampuan pengguna, diumum akhir tahun ini appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved