Tambang ECRL boleh berubah macam harga ‘flight’

LocalBusiness & Finance
19 Oct 2026 • 1:23 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tambang ECRL boleh berubah macam harga ‘flight’

GOMBAK – Harga tiket Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak ditetapkan pada kadar tetap, sebaliknya boleh berubah mengikut permintaan, waktu perjalanan dan ketersediaan tempat duduk menerusi mekanisme tambang dinamik seperti industri penerbangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, pendekatan itu memberi peluang kepada penumpang mendapatkan tiket pada harga lebih rendah sekiranya merancang perjalanan lebih awal atau memilih waktu perjalanan tertentu.

“Melalui mekanisme ini, harga tiket boleh berubah berdasarkan waktu perjalanan, tahap permintaan dan ketersediaan tempat duduk. Konsep ini hampir sama seperti yang digunakan dalam industri penerbangan.

“Penumpang yang merancang perjalanan lebih awal atau memilih waktu perjalanan tertentu berpeluang mendapatkan tambang lebih rendah, tertakluk kepada ketersediaan tiket,” katanya pada sidang akhbar kadar tambang ECRL di Stesen ECRL di sini, hari ini.

Menurut beliau, pelaksanaan tambang dinamik itu dipersetujui Jemaah Menteri pada 28 Jun 2024, manakala cadangan formula pelaksanaannya diluluskan pada 16 Oktober lalu.

Terdahulu, Darwis mengumumkan bagi perjalanan transit kelas Ekonomi dari Gombak ke Kota Bharu, Kelantan, tambang permulaan ditawarkan serendah RM125 sehala, manakala perkhidmatan ekspres bagi laluan sama bermula RM147.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, kadar RM125 itu merupakan tambang permulaan dan bukannya harga tetap bagi semua perjalanan.

“Kita bermula daripada RM125 sebab harga ini adalah harga tambang dinamik. Kita juga ada purata kadar pertengahan (mid-range) iaitu RM156 bagi laluan transit Gombak-Kota Bharu.

“Pihak kami juga mempunyai mekanisme intervensi bagi memastikan harga tiket tidak melonjak terlalu tinggi dan kekal berada dalam julat yang munasabah,” katanya.

Bagi perjalanan Gombak-Kuala Terengganu, Terengganu, tambang transit bermula RM95, manakala ekspres ditawarkan pada kadar permulaan RM110 sehala.

Sementara itu, tambang bagi perjalanan Gombak-KotaSAS, Kuantan, Pahang, bermula RM60 untuk transit dan RM68 bagi ekspres.

Kadar tambang permulaan yang sama turut terpakai bagi perjalanan arah sebaliknya.

Mengulas perkembangan projek, Darwis berkata, kemajuan keseluruhan pembinaan ECRL yang merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor mencapai 98.16 peratus setakat Oktober ini.

Katanya, ujian penerimaan tapak (Site Acceptance Test) dan ujian integrasi sistem (System Integration Test) telah disempurnakan, manakala ujian pemanduan tren sejak 25 Ogos lalu merekodkan jarak terkumpul melebihi 50,000 kilometer.

Menurut beliau, tren ECRL turut berjaya melengkapkan perjalanan tanpa henti dari Gombak ke Kota Bharu dalam tempoh kurang tiga jam 30 minit pada kelajuan maksimum 160 kilometer sejam ketika sesi pengujian.

MRL dijadualkan memulakan ujian Fault-Free Running (FFR) pada 23 Oktober ini, diikuti operasi percubaan sepanjang November.

Penjualan tiket rasmi ECRL pula dijadualkan bermula pada pertengahan November ini menerusi laman web rasmi ECRL, manakala operasi komersial penumpang bagi laluan Gombak-Kota Bharu disasarkan bermula pada 12 Disember 2026.

Pada peringkat awal, sebanyak 10 tren Electric Multiple Unit (EMU) akan beroperasi dengan menyediakan 12 perjalanan sehari dari Isnin hingga Khamis dan 16 perjalanan sehari dari Jumaat hingga Ahad. – KOSMO! ONLINE

The post Tambang ECRL boleh berubah macam harga ‘flight’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved