Tambang ECRL sehala kelas ekonomi RM125 dari Gombak ke Kota Bharu, RM60 ke KotaSAS Kuantan

LocalBusiness & Finance
19 Oct 2026 • 11:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tambang ECRL sehala kelas ekonomi RM125 dari Gombak ke Kota Bharu, RM60 ke KotaSAS Kuantan Image from: Tambang ECRL sehala kelas ekonomi RM125 dari Gombak ke Kota Bharu, RM60 ke KotaSAS Kuantan amree19/10/2026 - 11:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Okt — Tambang perkhidmatan kereta api Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi perjalanan sehala dari Gombak, Selangor ke Kota Bharu, Kelantan bermula RM125 bagi kelas ekonomi, menjelang operasi komersial yang dijadualkan bermula pertengahan Disember 2026.

 

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) berkata, kerajaan meluluskan cadangan struktur tambang berkenaan pada 16 Oktober 2026, dengan penetapan caj berdasarkan penggunaan mekanisme harga dinamik.

 

Bagi laluan sepanjang 523 kilometer dari Gombak ke Kota Bharu, tambang perkhidmatan ekspres bermula RM147, manakala perkhidmatan transit ditawarkan kepada penumpang pada harga permulaan RM125.

 

Sementara itu, bagi perjalanan dari Gombak ke Kuala Terengganu, Terengganu pula, tambang transit bermula RM95, manakala tambang perkhidmatan ekspres ditetapkan bermula RM110.

 

Sementara itu ujar MRL, penumpang yang menuju ke KotaSAS di Kuantan, Pahang boleh menikmati tambang transit bermula RM60 dari Gombak, berbanding RM68 bagi perkhidmatan ekspres.


 

ECRL

 


Perbezaan tambang tersebut mencerminkan struktur harga yang ditetapkan mengikut jenis perkhidmatan dan destinasi, dengan semua kadar yang diumumkan merupakan harga permulaan.

 

Kadar tambang yang sama turut terpakai bagi perjalanan arah sebaliknya. Perkhidmatan transit berhenti di setiap stesen, manakala perkhidmatan ekspres memberikan tumpuan kepada Gombak, KotaSAS, Kuala Terengganu dan Kota Bharu.

 

Pelaksanaan tambang ECRL adalah berasaskan mekanisme tambang dinamik yang telah dipersetujui Jemaah Menteri pada 28 Jun 2024, dengan cadangan formula pelaksanaannya mendapat kelulusan pada 16 Oktober 2026. 

 

Melalui mekanisme ini, harga tiket boleh berubah mengikut faktor seperti waktu, permintaan dan ketersediaan tempat duduk, sekali gus memberikan fleksibiliti kepada pengguna merancang perjalanan mengikut keperluan dan kemampuan masing-masing. 

 

Pendekatan ini turut membolehkan pengurusan permintaan penumpang dilaksanakan dengan lebih berkesan, di samping memastikan perkhidmatan ECRL kekal berdaya saing dan mampan. 
 

 

ECRL_DagangNews2026

 

ECRL merupakan projek rangkaian rel menghubungkan Pantai Timur dengan kawasan Gombak di Selangor, dengan laluan Gombak-Kota Bharu menjadi antara laluan yang dinyatakan dalam struktur tambang.

 

MRL sebelum ini pernah menyatakan keyakinan bahawa perkhidmatan komersial ECRL dapat memulakan operasi pada pertengahan Disember 2026, bersempena dengan cuti penggal akhir persekolahan.

 

Penetapan tambang itu merupakan antara perkembangan penting menjelang pembukaan perkhidmatan, khususnya bagi yang merancang perjalanan antara Gombak, Kuala Terengganu, KotaSAS dan Kota Bharu.

 

ECRL baru-baru ini melengkapkan perjalanan tanpa henti dari Gombak ke Kota Bharu dalam tempoh empat jam, meliputi jarak 523 kilometer, manakala transit pula kira-kira lima jam. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved