SHAH ALAM - Aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak bersedia pulang ke tanah air untuk menyerahkan diri kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat dengan syarat empat kuil tidak sah dirobohkan.
Perkembangan terbaharu itu dikongsikan oleh akaun Threads, tanah.malaya pada Khamis.
Menerusi hantaran berkenaan, empat kuil yang disyaratkan supaya dirobohkan ialah Kuil Atas Jalan Pandanmas, Kuil Hospital Bukit Mertajam, Kuil Lama Seafield dan Kuil Jakel.
"Kenapa empat lokasi ini? Yang itu, semua boleh fikir sendiri," menurut hantaran di akaun berkenaan.
Mahkamah Majistret Langkawi pada Selasa menangguhkan pertuduhan terhadap Tamim Dahri sehingga 15 Mei depan selepas tertuduh dikesan berada di Riyadh, Arab Saudi.
Tamim Dahri akan dituduh mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana didakwa merosakkan objek soolam, simbol suci bagi penganut Hindu di tapak lama Kuil Sri Maha Muniswarar di Langkawi, Kedah.
Pada Isnin, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, mengesahkan empat individu termasuk Penyelaras Himpunan Gerakan Anti Rumah Ibadat Haram (GARAH), Zamri Vinoth dan aktivis, Arun Dorasamy, akan didakwa berkaitan kes provokasi agama pada Selasa.
Selain Zamri Vinoth dan Arun Dorasamy, dua lagi yang akan dituduh ialah Tamim Dahri dan P. Mahendra Boopathy.
Sinar Harian melaporkan, wakil badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan India pada Rabu menganjurkan mesyuarat pertama bagi mencari titik pendamaian dalam menyelesaikan beberapa isu yang membelenggu kedua-dua kaum sejak kebelakangan ini.
Wakil kedua-dua kaum itu dipertemukan melalui program Harmoni Madani yang berlangsung kira-kira empat jam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.
