amree04/05/2026 - 17:33 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Mei – Tan Chong Motor Holdings Berhad (TCMH) terus mencatatkan kerugian bersih mencecah sebanyak RM193.0 juta bagi tempoh kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2025 (FY25).
Kelemahan itu disebabkan oleh tekanan margin berterusan akibat persaingan pasaran semakin sengit, pelarasan harga untuk mempertahankan pegangan pasaran, serta ketidaktentuan pertukaran wang asing.
Selain itu maklumnya kepada Bursa Malaysia, prestasi kumpulan turut terkesan oleh penggunaan loji pengeluaran lebih rendah ketika kitaran peralihan pengeluaran dan peningkatan perbelanjaan operasi.
"Bagaimanapun, jumlah kerugian bersih ini menunjukkan penyusutan 9.87% berbanding kerugian bersih sebanyak RM214.2 juta yang pernah dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya (FY24)," jelas TCMH.
Kumpulan merekodkan jumlah pendapatan sebanyak RM2.114 bilion, naik 1.5% berbanding RM2.082 bilion pada FY24, didorong terutama oleh jumlah jualan kenderaan yang lebih tinggi dalam segmen tertentu.
Pada masa sama jelas kumpulan perniagaan automotif tersebut, kerugian sebelum cukai (LBT) mengecil kepada kira-kira RM175.3 juta berbanding sebanyak RM214.3 juta pada tahun kewangan sebelumnya.
Walaupun berdepan cabaran, TCMH mengekalkan kedudukan kewangan stabil dengan ekuiti berjumlah RM2.615 bilion, hasil latihan penilaian semula hartanah dengan nisbah gear bersih pula 40.0%.
"Bagi menangani pelbagai cabaran semasa ini, pihak pengurusan melaksanakan banyak langkah disiplin kos yang ketat, rasionalisasi inventori, dan pengoptimuman struktur operasi," tambah kumpulan itu.
Mereka juga melaksanakan peralihan strategik dengan mempelbagaikan portfolio melalui pengenalan jenama baharu seperti TQ Wuling dan memulakan penyertaan dalam segmen kenderaan elektrik (EV).
TCMH turut memfokuskan kepada pengukuhan francais teras Nissan melalui teknologi e-POWER dan memperluaskan keupayaan pembuatan untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang. - DagangNews.com






