
Kota Kinabalu: Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Raymond Tan Shu Kiah menafikan pernah menerima wang tunai berjumlah RM500,000 ketika beliau memegang jawatan tersebut pada September 2005.
Tan mendedahkan perkara itu ketika memberi keterangan sebagai saksi pembelaan bagi kes bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (Jans) Awang Mohd Tahir, 63, di mahkamah pada Rabu.
Perkara tersebut dibangkitkan apabila peguam Datuk Ansari Abdullah menyoal Tan mengenai keterangan Jurutera Bahagian Air Kota Kinabalu Teo Chee Kong, yang mendakwa wang itu diserahkan kepada Tan semasa tempoh beliau sebagai menteri.
Ansari: Terdapat keterangan daripada Teo bahawa pada September 2005 beliau menyediakan dan menyerahkan RM500,000 secara tunai kepada Tan di hadapan Lim di pejabat Datuk, benar?Tan: Ia tidak benar. Di kementerian kami tidak membenarkan mana-mana pelawat membawa wang tunai untuk diberikan kepada menteri. Terdapat garis panduan standard daripada Perdana Menteri bahawa menteri tidak boleh menerima sebarang hadiah. Selain itu sekiranya Teo membawa wang ia pasti disedari oleh pegawai keselamatan kerana terdapat dua tahap keselamatan di pejabat menteri. Jika membawa sebarang hadiah ia juga boleh dirakam menerusi CCTV atau disedari oleh pegawai perhubungan awam yang menguruskan kemasukan ke pejabat menteri. Saya percaya amalan itu masih diguna pakai hingga kini.
Ansari: Teo juga memberi keterangan bahawa pada suku kedua 2005 beliau bersama Lim telah bertemu Datuk di pejabat dan memaklumkan bahawa mereka bersetuju memperuntukkan ‘sesuatu’ kepada Datuk hasil daripada kutipan sebut harga kerja-kerja di Jans, benar?Tan: Hakikat bahawa Teo dan Lim datang ke pejabat pada suku kedua 2005. Saya hanya ingat mereka ada membuat lawatan tetapi saya tidak mengingati tarikh dan masa yang tepat. Amalan biasa ialah Teo akan datang bersama pegawai kanan beliau.
Bahagian kedua soalan berhubung apa yang didakwa Teo katakan adalah tidak benar.
Jika saya ingat pertemuan itu ia berkaitan skop tugas Teo sebagai jurutera daerah di Kota Kinabalu. Adalah penting untuk saya menegaskan bahawa Kota Kinabalu sebagai daerah pusat perniagaan tidak boleh mengalami gangguan bekalan air.
Menjadi tanggungjawab Teo memastikan bekalan air mencukupi bagi memenuhi permintaan terutama hospital, institusi kewangan dan kegunaan domestik.
Ansari: Sepanjang tempoh Datuk sebagai Menteri Pembangunan Infrastruktur dari 2004 hingga 2009 adakah Datuk pernah mendengar tentang skim kutipan berpusat yang didakwa wujud di Jans?Tan: Bolehkah saya tahu apakah yang dimaksudkan dengan skim kutipan berpusat?Ansari: Berdasarkan keterangan Teo jabatan akan mengutip peratus tertentu daripada kontraktor Jans dan mengagihkan wang tersebut mengikut jadual skim kutipan berpusat yang kononnya menetapkan jumlah bayaran setiap suku tahun kepada beberapa pihak termasuk kementerian Datuk yang disenaraikan sebagai KPI.
Tan: Ini adalah kali pertama saya melihat dokumen ini dan saya langsung tidak mempunyai pengetahuan tentang skim yang dinyatakan oleh Teo di mahkamah.
Ansari: Datuk ada ingat sekitar tahun 2006 ibu pejabat Jans telah diserbu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beberapa pegawai ditahan dan wang dirampas?Tan: Saya hanya mengetahui kejadian itu melalui laporan akhbar.
Ansari: Sejak serbuan itu hingga kini adakah SPRM pernah merakamkan sebarang kenyataan daripada Datuk berkaitan wang yang dikutip dan diagihkan termasuk RM500,000 yang didakwa diberikan kepada Datuk?Tan: Untuk rekod saya menafikan sebarang bayaran. Berkaitan sama ada kenyataan pernah direkodkan oleh SPRM jawapannya tidak pernah. Apabila saya membaca laporan akhbar ia menunjukan bahawa Teo didakwa telah memalsukan dokumen untuk membolehkan kontraktor mencuri wang daripada perbendaharaan. Dengan segala hormat ia adalah kes kecurian wang kerajaan oleh kontraktor.
Ansari: Dalam tempoh 2004 hingga 2009 adakah pernah timbul sebarang pertanyaan daripada Ketua Audit Negara Persekutuan atau Jabatan Audit Negeri mengenai kadar kontrak pemasangan paip dan sebagainya?Tan: Saya tidak mengetahui sebarang pertanyaan pada masa itu.
Tan turut memberi keterangan bahawa Jans perlu menyediakan bajet bagi setiap projek kerja air beserta justifikasi untuk mendapatkan kelulusan Kementerian Kewangan dan bajet tersebut mesti melalui beliau sebelum dikemukakan kepada Menteri Kewangan.
Menurut Tan bagi pelantikan kontraktor dan perolehan kontrak kerajaan untuk mana-mana jabatan atau agensi ia adalah hak dan bidang kuasa sepenuhnya Kementerian Kewangan. Sebarang penganugerahan kontrak kerajaan pula tertakluk kepada Akta Kontrak Kerajaan 1947.
Awang bersama isterinya Fauziah Piut, 59, dan bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Lim Lam Beng, 70, sedang dibicarakan atas beberapa pertuduhan berkaitan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 berhubung skandal Jans.
Tan akan meneruskan keterangannya pada Khamis.
