Tan Sri Gooi Hoe Soon dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah AIA baharu
zulfadli
21/06/2023 - 14:28
KUALA LUMPUR 21 Jun - AIA Bhd mengumumkan pelantikan Tan Sri Wee Hoe Soon @ Gooi Hoe Soon sebagai pengerusi lembaga pengarahnya berkuat kuasa 15 Jun 2023.
Beliau menggantikan Ching Yew Chye @ Chng Yew Chye yang bersara setelah menamatkan perkhidmatannya sebagai pengarah syarikat tersebut.
Gooi yang menganggotai Ahli Lembaga Pengarah AIA sebagai pengarah bebas bukan eksekutif sejak 5 Januari 2023, adalah pengerusi lembaga pengarah AIA yang ketiga.
Ketua Pegawai Eksekutif AIA, Ben Ng berkata, dengan rekod kepimpinan yang terbukti dan visi strategik yang dimiliki, Gooi membawa banyak pengalaman dan kepakaran kepada syarikat.
"Saya teruja untuk bekerjasama dengan Gooi dalam menavigasi persekitaran industri insurans yang dinamik ini serta memacu syarikat ke tahap kejayaan yang lebih tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ben, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada Ching atas bimbingan dan sokongan berterusan beliau selama ini.
"Setelah menyertai Lembaga Pengarah pada kemuncak penggabungan AIA dan syarikat ING, Ching telah memantau secara strategik dan membimbing pasukan pengurusan ketika proses integrasi kedua-dua entiti berkenaan.
"Baru-baru ini, beliau telah memainkan peranan penting dalam pemisahan lesen komposit insurans am dan hayat AIA Malaysia dengan penubuhan AIA General Bhd, yang mana beliau kekal sebagai pengerusi lembaga pengarahnya," katanya.
Dalam pada itu, Gooi yang berpengalaman lebih 38 tahun dalam bidang perakaunan dan kewangan korporat memainkan peranan penting dalam menjayakan pelaksanaan termasuk penggabungan dan pengambilalihan serta penstrukturan semula hutang korporat oleh syarikat awam tersenarai (PLC).
Beliau pernah menjadi ahli Jawatankuasa Pengurusan Hutang dan Liabiliti Negara dan ahli panel pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Beliau juga merupakan bekas Pengerusi Lembaga Pengarah EON Bank Bhd, Pengerusi Amity Bond Sdn Bhd, Timbalan Pengerusi Avenue Capital Resources Bhd dan memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Eksekutif Urus Niaga Avenue Securities Sdn Bhd.
Gooi merupakan Ahli Persatuan Akauntan Awam Bertauliah Malaysia dan Institut Akauntan Malaysia. Beliau juga merupakan salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Sekuriti, Yinson Holdings Bhd, Red Ideas Holdings Bhd dan Perusahaan Sadur Timah Malaysia Bhd. - DagangNews.com




