
PUTRAJAYA – Kerajaan berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa untuk mengetepikan keputusan supaya tanah seluas 106.542 hektar di Duta Enclave (sebelum ini dikenali Jalan Duta) diserahkan kepada syarikat Semantan Estate (1952) Sdn Bhd.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Lee Swee Seng turut mengarahkan pampasan dibayar kepada syarikat berkenaan, yang akan ditaksirkan oleh Mahkamah Tinggi dalam tempoh 90 hari dengan bantuan pakar.
Beliau yang bersidang bersama Hakim-hakim, Datuk Azimah Omar dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, mahkamah menolak rayuan silang Semantan Estate supaya tanah berkenaan dipindah milik kepadanya.
Pada 20 Februari lepas, panel tiga hakim menangguhkan keputusan selepas mendengar hujahan daripada semua pihak yang terlibat.
Kerajaan merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 Ogos tahun lalu yang mengarahkan pemindahan hak milik tanah kepada Semantan Estate.
Mahkamah sebelum ini memutuskan berpihak kepada saman pemula Semantan Estate terhadap Pendaftar Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Sementara itu, Semantan Estate turut merayu terhadap satu lagi keputusan Mahkamah Tinggi pada Oktober 2021 yang menolak permohonan semakan kehakiman syarikat itu untuk mendapatkan semula tanah berkenaan.
Syarikat itu juga merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang kemudiannya membenarkan permohonan Pendaftar Tanah bagi perintah penangguhan pemindahan hak milik tanah kepada Semantan Estate.
Tanah yang dipertikaikan terletak di kawasan strategik Jalan Duta, dikenali sebagai Duta Enclave, yang menempatkan beberapa bangunan kerajaan, termasuk Stadium Hoki Nasional, Institut Integriti Malaysia, Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri serta Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Pertikaian undang-undang Semantan Estate bermula pada 2003 apabila syarikat itu menyaman kerajaan dengan mendakwa tanah berkenaan diambil secara tidak sah.
Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa kerajaan telah mengambil tanah tersebut secara tidak sah. Rayuan kerajaan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan selepas itu tidak berjaya.
Pada Februari 2017, Semantan Estate memfailkan saman terhadap Pendaftar Tanah Wilayah Kuala Lumpur bagi menguatkuasakan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009.
AKAN MENYUSUL

