Tanah Jerlus: Keluarga Mangsa Buat Upacara Agama Sebelum Pulang Ke India

LocalPolitics
1 Sep 2024 • 5:36 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Tanah Jerlus: Keluarga Mangsa Buat Upacara Agama Sebelum Pulang Ke India

Berdepan tragedi membabitkan ahli keluarga yang ‘lenyap’ dalam sekelip mata adalah suatu yang perit untuk diterima, apatah lagi tanpa peluang untuk melihat wajah orang tersayang buat kali terakhir.

Bagaimanapun, keluarga kepada Vijaya Laksmi Goli, 48, mangsa yang hilang selepas jatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India pada 23 Ogos lalu, terpaksa menerima hakikat yang memilukan ini.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Akhirnya, mereka membuat keputusan untuk pulang ke tanah air pada Ahad, sehari selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dihentikan.

Sebelum berangkat pulang, suami, anak lelaki dan adik perempuan mangsa dilihat berada di lokasi kejadian buat terakhir kali bagi menjalankan upacara keagamaan.

Mereka menyalakan lampu minyak dan membunyikan loceng sebagai sebahagian daripada ritual Hindu.

Mereka juga kelihatan mengambil segumpal tanah dan memasukkannya ke dalam beg plastik, mungkin untuk dibawa pulang ke India.

Difahamkan mereka akan bertolak pulang ke India pada jam 5 petang hari ini.

Pada 23 Ogos lalu, mangsa yang berasal dari Kuppam, Andhra, India hilang selepas jatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India.

Pada Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mengumumkan bahawa kerajaan memutuskan untuk menghentikan operasi SAR selepas sembilan hari.

Menurut beliau, keputusan tersebut diambil setelah mengambil kira faktor keselamatan membabitkan pasukan SAR, orang ramai dan kawasan sekitar.

Sumber: Astro Awani