Tanah runtuh: Angka korban kini 24 orang

18 Dec 2022 • 12:19 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kuala Lumpur: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di kawasan tapak perkhemahan di Jalan Batang-Kali-Genting Highlands memasuki hari kedua, dengan 24 nyawa terkorban dan sembilan mangsa masih hilang, setakat 6 petang Sabtu.

Seorang kanak-kanak perempuan menjadi korban terakhir ditemukan semalam. Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata mayat kanak-kanak yang belum dikenal pasti umurnya itu ditemukan di kawasan pencarian Hillview (sektor A) pada 4.05 petang Sabtu.

“Mayat itu akan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian di sini.

Setakat ini tujuh kanak-kanak disahkan terkorban dalam tragedi tanah runtuh tersebut.

Sebelum ini, dua lagi mayat mangsa dijumpai sekitar tengah hari Sabtu.

Mayat yang ditemukan dalam keadaan sempurna itu adalah seorang wanita lingkungan 30-an dan seorang kanak-kanak lelaki dianggarkan berusia antara dua hingga tiga tahun, dipercayai ibu dan anak.

TRAK polis dipercayai membawa mayat seorang mangsa kanak-kanak, pada Sabtu. – fotoBERNAMA

Runtuhan tanah yang tebal, berlumpur dan berbatu serta aliran air menyukarkan operasi SAR mangsa yang belum ditemukan daripada keseluruhan 94 mangsa dalam tragedi di tapak perkhemahan itu, menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis.

Katanya, operasi pada Sabtu diteruskan selama 24 jam namun akan ditangguhkan sekiranya berlaku hujan lebat atas faktor keselamatan pasukan SAR dan beliau tidak menolak kemungkinan masih ada mangsa yang terselamat sekiranya berpaut pada timbunan batu atau pokok.

Norazam berkata setakat ini, beberapa mangsa yang ditemukan tertimbus dengan kedalaman tanah antara tiga hingga lima kaki (0.91 hingga 1.52 meter), selain ada yang ditemukan dengan bahagian badan yang kelihatan di permukaan tanah.

Katanya, operasi SAR pada Sabtu melibatkan 135 anggota daripada pelbagai agensi selain menggunakan khidmat tujuh anjing pengesan serta jentera berat untuk mencari mangsa tertimbus.

Menurut kenyataan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), enam mangsa yang ditemukan meninggal dunia telah dikenal pasti dengan pengecaman oleh waris atau menerusi ujian cap jari manakala proses bedah siasat dan pengecaman mayat yang lain masih dijalankan, setakat 7 pagi Sabtu.

Acryl Sani juga dilaporkan berkata pengusaha tapak perkhemahan telah dipanggil semalam untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor namun pihaknya kini menumpukan kepada operasi SAR.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad pula dilaporkan berkata hasil siasatan mengenai kejadian tanah runtuh yang akan diperoleh dalam masa terdekat akan dibawa ke Kabinet untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu sembilan kaunselor Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ditempatkan di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh bagi memberi sokongan psikososial kepada waris mangsa insiden itu, menurut Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Dalam insiden 2.42 pagi Jumaat, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Gohtong Jaya. Operasi SAR hari kedua bermula pada 8 pagi Sabtu selepas ditangguh tengah malam Jumaat susulan hujan lebat.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.