Tanah runtuh di Ranau cetus gangguan lalu lintas

14 Sep 2022 • 1:26 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

RANAU: Dua kejadian membabitkan runtuhan benteng akibat hujan lebat menyebabkan gangguan lalu lintas, di sini, Isnin.

Kejadian pertama berlaku di Jalan Kibbas-Mohimboyon, kira-kira pukul 7.45 pagi, di mana satu bahagian jalan runtuh ke bukit di bawahnya, mengakibatkan hanya separuh jalan itu boleh dilalui kenderaan kecil.

Ketua Jabatan Kerja Raya (JKR) Ranau Mac Glen Frederick Lojuman (gambar) berkata laluan yang terjejas merupakan jalan negeri dan kerosakan adalah sepanjang kira-kira 20 meter dan dikategorikan sebagai “berbahaya”.

“Runtuhan benteng ini berlaku berikutan hujan berterusan di daerah ini sejak beberapa minggu lalu. Peningkatan isipadu air hujan mengganggu struktur tanah di kawasan itu.

“Sehingga petang Isnin, laluan itu boleh dilalui dengan satu lorong oleh kenderaan ringan dan tidak selamat untuk kenderaan berat. Sekiranya kejadian lebih teruk berlaku, jalan alternatif akan digunakan melalui Jalan Semuroh-Kinondusan.

“Setakat ini, syarikat konsesi, WKW Eramaju Sdn Bhd telah berjaya melaksanakan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) serta meletakkan kanvas di kawasan terjejas bagi mengelak hakisan yang lebih teruk,” katanya.

Mac Glen berkata, satu lagi kejadian berlaku di Jalan Lohan-Bongkud, kira-kira pukul 12.15 tengah hari, apabila bahagian tepi bukit jalan itu runtuh sehingga menutupi seluruh permukaan jalan.

“Kejadian ini juga akibat hujan berterusan, dan dikategorikan sebagai kritikal di mana kedua-dua lorong ditutup. Kawasan terbabit selebar kira-kira 30 meter.

“Bagaimanapun, tindakan pantas syarikat konsesi, Globinaco Sdn Bhd, memastikan trafik terus mengalir selepas membersihkan salah satu lorong di kawasan terbabit.

“Kami telah mengenal pasti jalan alternatif sekiranya keadaan bertambah buruk, di mana pemandu boleh melalui Jalan Sandakan ke Jalan Kinaratuan,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.