Tanah Runtuh Di Sabah: Tujuh Disahkan Maut – Polis

LocalEnvironment
15 Sep 2025 • 5:11 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Tanah Runtuh Di Sabah: Tujuh Disahkan Maut – Polis

KOTA KINABALU — Tragedi tanah runtuh di Kampung Cenderakasih, Kolombong yang melibatkan 11 orang berakhir dengan tujuh disahkan maut termasuk seorang wanita berusia lingkungan 20-an dan seorang kanak-kanak, lapor Astro AWANI.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda, operasi menyelamat itu mengambil masa tujuh jam sebelum kesemua mangsa berjaya dibawa keluar.

“Keseluruhan mangsa terlibat ialah 11 orang. Empat mangsa selamat, termasuk seorang cedera patah kaki. Selebihnya, tujuh mangsa disahkan meninggal dunia.

“Mangsa terakhir ditemui kira-kira jam 3.45 petang,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian, hari ini.

Tambah beliau, operasi mengeluarkan mangsa terakhir mengambil masa lebih lama susulan mangsa tertimbus lebih dalam di bawah runtuhan rumah dan timbunan sampah.

“Operasi bermula sekitar 10.30 pagi dan tamat jam 3.45 petang. Kawasan runtuhan ini curam, dipenuhi tanah dan sampah dianggarkan seberat 20 hingga 30 tan. Kami juga bimbang berlaku runtuhan susulan jika cuaca buruk,” maklumnya.

Dalam pada itu, beliau berkata lokasi kejadian ditutup buat sementara bagi proses siasatan dan keselamatan. Penduduk yang tinggal di kawasan berisiko juga akan dipindahkan selewat-lewatnya pagi esok.

Sehubungan itu, polis menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko tinggi, cerun curam, atau berhampiran pokok besar agar segera berpindah jika diarahkan pihak berkuasa.

“Kita tidak mahu kehilangan nyawa lagi seperti yang berlaku hari ini. Dengar nasihat pihak berkuasa untuk keselamatan semua,” katanya.

Antara pasukan penyelamat yang terlibat dalam kejadian itu adalah pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Unit K9, PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Operasi ditamatkan selepas semua agensi bersepadu lokasi selamat dan tiada risiko susulan.

Sumber: Astro AWANI