Tanah runtuh: Laluan ke Gunung Raya ditutup

17 Oct 2022 • 4:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Shariman (empat dari kanan) melawat pusat penempatan sementara (PPS) Dewan Syifa di Padang Mat Sirat.

image is not available
Keadaan tanah runtuh di Gunung Raya. Foto ihsan APM Langkawi.

LANGKAWI - Laluan ke Gunung Raya ditutup kepada orang awam susulan terdapat empat runtuhan tanah dikesan berlaku di situ.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, tinjauan mendapati masih terdapat pergerakan tanah berlaku di kawasan berkenaan akibat hujan lebat sejak jam 4 pagi pada Ahad.

"Walau bagaimanapun hujan yang mulai reda menjelang senja menyebabkan kawasan-kawasan yang dinaiki air kembali pulih seperti sedia kala kecuali di kawasan Padang Mat Sirat.

"Selain itu, terdapat juga sebuah rumah yang terjejas di kawasan Kuah akibat tanah runtuh," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan 14 kawasan di empat mukim di Pulau Langkawi dinaiki air susulan hujan lebat dan angin kencang.

Situasi itu menyebabkan sebuah pusat penempatan sementara (PPS) Dewan Syifa dibuka di Padang Mat Sirat. Selain itu, seramai 46 pendaki turut terperangkap di air terjun Telaga Tujuh di sini akibat kejadian kepala air.

Semua mangsa dipercayai membuat pendakian ke puncak seawal jam 4 pagi sebelum sampai di puncak pada jam 7.30 pagi.