Tanah runtuh: Polis sahkan waris mangsa ke lokasi kejadian

19 Dec 2022 • 7:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Waris yang datang ke lokasi kejadian di Father's Organic Farm, Jalan Genting, di sini, pada Isnin.

BATANG KALI - Polis mengesahkan empat individu yang hadir ke lokasi kejadian di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Jalan Genting, di sini, pada Isnin, merupakan ahli keluarga mangsa yang masih hilang dalam tragedi tanah runtuh.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, mangsa yang hilang itu merupakan ayah kepada pengadu.

"Kita telah membuat semakan, mangsa memang ada dalam senarai individu yang masih hilang. Sebelum ini, pengadu telah membuat di Balai Polis Gohtong Jaya," katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian pada Isnin.

Suffian berkata, setakat ini, seramai 125 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi mencari mangsa.

"Operasi tersebut turut menggunakan 11 buah jengkaut dan sembilan ekor anjing untuk mengesan mangsa yang masih hilang.

"Setakat ini tiada perkembangan terbaharu, namun kita masih bertungkus lumus dan tidak mengenal erti keletihan, kita akan meningkatkan usaha dalam operasi mengesan mangsa yang masih hilang," katanya.

Pada Isnin media melaporkan, keempat-empat individu terdiri daripada tiga wanita dan seorang lelaki termasuk warga asing itu dilihat menuju ke khemah Pusat Operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lokasi kejadian kira-kira jam 4 petang.

Seorang daripadanya didapati menangis sebaik anggota polis yang berada di khemah berkenaan memberi maklumat kepada individu berkenaan.

Pada hari keempat, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan untuk mengesan sembilan lagi mangsa yang hilang dalam tragedi tanah runtuh itu.