Tanah runtuh: Satu lagi mayat kanak-kanak ditemukan

17 Dec 2022 • 6:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mayat kanak-kanak perempuan dibawa ke Hospital Sungai Buloh.

HULU SELANGOR - Satu lagi mayat kanak-kanak perempuan tragedi tanah runtuh ditemukan di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, jumlah keseluruhan 24 mangsa meninggal dunia setakat ini.

"Satu mayat kanak-kanak perempuan telah dijumpai oleh pasukan penyelamat di sektor A pada jam 4.05 petang," katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian di sini pada Sabtu.

Acryl Sani berkata, mayat tersebut akan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.

"Kita berdoa dan berharap operasi mencari dan menyelamatkan (SAR) ini dapat diselesaikan," katanya.

Pada Jumaat, media melaporkan seramai 94 mangsa terbabit dalam kejadian tanah runtuh di kawasan tersebut.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 2.24 pagi.