
Tuaran: Bagi mengurangkan kadar punca bencana di daerah ini, sebanyak 21,235 anak pokok ditanam serentak di seluruh kawasan daerah ini bersempena sambutan Hari Bumi Sedunia Peringkat Daerah Tuaran.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, usaha melibatkan lebih 22,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di daerah ini merupakan langkah meneruskan usaha memupuk kesedaran mengenai pentingnya menjaga alam sekitar.
Beliau berkata, ia susulan pelbagai kesan bencana seperti banjir, kemarau dan tanah runtuh berlaku akibat aktiviti pembangunan dan perindustrian yang tidak terkawal.
“Di daerah kecil Tamparuli sahaja, sebanyak 18 kes bencana banjir direkodkan bermula tahun 2017 sehingga 2023 membabitkan 15 buah kampung yang dikenal pasti sebagai kawasan hotspot banjir.
SPONSORED CONTENT Sabah revenue hits RM6.97 billion: Hajiji says GRS State Government may see full term Kota Kinabalu: The Sabah Government continued its momentum in managing the economy in line with the commitment and spirit of the Sabah Maju Jaya (SMJ) when it posted record high state revenue of RM6.973 billion last year. Read more “Bagi mengurangkan risiko bencana itu, pelbagai anak pokok akan ditanam di enam zon meliputi sekolah di kawasan zon Nabalu, Kiulu, Tenghilan, Tamparuli, Sulaman dan Mengkabong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Bumi Sedunia Peringkat Daerah Tuaran di Dewan Terbuka, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli, Khamis.
Dalam majlis itu, beliau yang juga merangkap Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), turut mengumumkan sumbangan tajaan pihak SESB berjumlah RM130,000 serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam berjumlah RM10,000 untuk menjayakan program terbabit.
Beliau menambah, sebanyak 4,000 anak pokok ‘tambagat’ dan 3,500 anak pokok Kelingau akan ditanam manakala selebihnya adalah pokok buah-buahan tempatan serta pokok hiasan.
“Pokok bernilai penting dalam menjamin kelestarian persekitaran dan kesihatan dengan mengurangkan pencemaran udara selain bertindak sebagai agen penyerap karbon,” ujarnya.
Turut terlibat menjayakan program, Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran, Institut Perguruan Guru (IPG) Kampus Kent Tuaran, Kementerian Sumber Asli Persekutuan, Jabatan Pertanian, Jabatan Parit dan Saliran, Lembaga Industri Getah dan Saliran, Taman-Taman Sabah serta Pejabat Penerangan Daerah Tuaran.
Sementara itu, pelajar SMK Tamparuli, Norish Roslan, 16, yang berpeluang menanam anak pokok sempena program terbabit berkata, dia menyedari pokok berperanan menyerap gas karbon yang dilepaskan oleh aktiviti pembakaran, pengangkutan dan sebagainya.
“Gas pencemar juga ditapis dan dikurangkan dengan teknologi semula jadi dalam pokok itu sendiri manakala setiap bahagian pokok mempunyai proses fitoremediasi yang mampu bertindak balas dengan menyerap dan meneutral sebelum menukar dan melepaskan kimia berbahaya daripada persekitaran kepada bentuk yang lebih selamat.
“Tanpa pokok, teknologi semula jadi ini tidak dapat berlaku dan akan menyebabkan kandungan gas pencemar serta mendapan logam berat di sekeliling kita akan terus bertambah, seterusnya memberi ancaman kepada kesihatan manusia,” katanya.
Bagi Nur Alisha William, 16 pula, dunia global kini berhadapan dengan masalah kesan pemanasan iklim, tidak terkecuali di Malaysia.
“Perubahan suhu dan iklim yang mendadak boleh mengakibatkan bencana seperti peningkatan paras air laut yang mendadak, banjir, dan sebagainya.
“Di sinilah peranan pokok dianggap penting dalam membantu mengimbangi suhu dan iklim setempat seterusnya mengurangkan fenomena Pulau Haba Bandar (UHI).
Apa yang kami (pelajar) pelajari pada program ini, pokok juga dapat membantu menangani masalah banjir kilat dengan bertindak meningkatkan kadar penyerapan air bawah tanah.
“Bagi kawasan sensitif alam sekitar seperti cerun bukit dan pinggir sungai seperti di daerah kecil Tamparuli dan Kiulu, misalnya pokok berperanan sebagai pengukuh bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh dan hakisan tanah,” tambahnya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
