Tanaman, ternakan pendapatan tertinggi sektor pertanian di Perak

LocalBusiness & Finance
16 Apr 2026 • 7:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tanaman, ternakan pendapatan tertinggi sektor pertanian di Perak
Subsektor tanaman dan ternakan muncul sebagai penyumbang utama pendapatan sektor pertanian di Perak dengan nilai keseluruhan masing-masing RM9.34 bilion dan RM4.76 bilion pada tahun 2023. Gambar hiasan

IPOH – Subsektor tanaman dan ternakan muncul sebagai penyumbang utama pendapatan sektor pertanian di Perak dengan nilai keseluruhan masing-masing RM9.34 bilion dan RM4.76 bilion pada tahun 2023.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kedua-dua subsektor itu menguasai lebih 79 peratus daripada jumlah pendapatan sektor pertanian negeri yang mencecah RM17.69 bilion.

Dapatan tersebut diperoleh menerusi Laporan Banci Pertanian 2024 Negeri Perak yang diterbitkan pada Khamis, melibatkan pengumpulan data komprehensif bagi tahun rujukan 2023.

"Subsektor tanaman kekal sebagai penyumbang terbesar dengan sumbangan 52.8 peratus, manakala ternakan menyumbang 26.9 peratus daripada keseluruhan pendapatan sektor berkenaan.

"Selain itu, subsektor perikanan tangkapan merekodkan pendapatan RM2.52 bilion (14.2 peratus), diikuti akuakultur RM929.13 juta (5.3 peratus) serta perhutanan dan pembalakan RM143.17 juta (0.8 peratus)," jelas DOSM dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam aspek nilai jualan pula, subsektor tanaman mencatatkan RM8.27 bilion, diikuti ternakan RM4.28 bilion dan perikanan tangkapan RM2.47 bilion.

Laporan sama turut menunjukkan sektor pertanian di Perak melibatkan 107,824 pegangan pertanian dengan majoritinya diusahakan oleh individu iaitu sebanyak 97.6 peratus.

Dari segi guna tenaga, sektor itu menggaji seramai 194,316 pekerja dengan subsektor tanaman menjadi penyumbang terbesar melibatkan 136,343 orang.

Tiga daerah yang merekodkan jumlah pendapatan tertinggi sektor pertanian ialah Manjung dengan RM3.05 bilion, diikuti Batang Padang (RM2.24 bilion) dan Larut dan Matang (RM2.05 bilion).

Menurut DOSM, sektor pertanian kekal sebagai antara pemacu utama ekonomi negeri selain berperanan memastikan keterjaminan bekalan makanan, menjana peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan isi rumah khususnya dalam kalangan komuniti luar bandar.

Dari segi guna tenaga, sektor pertanian di Perak mencatatkan seramai 194,316 orang pada tahun 2023 dengan tiga daerah iaitu Batang Padang, Hilir Perak serta Larut Matang dan Selama menyumbang jumlah tertinggi iaitu 38.8 peratus.

"Purata gaji dan upah tahunan tanaman berjumlah RM16,761 dengan daerah yang merekodkan paras melebihi purata negeri iaitu Kerian (RM23,094), Kampar (RM20,668), Kinta (RM20,221), Selama (RM20,056) serta Larut Matang dan Selama (RM17, 938).

"Manakala subsektor akuakultur mencatat purata gaji dan upah tahunan sebanyak RM29,298 diikuti perhutanan dan pembalakan (RM17,829), ternakan (RM23,724) serta perikanan tangkapan (RM28,071)," jelas kenyataan itu.

Kerajaan negeri turut menyasarkan Perak sebagai bakul makanan utama negara melalui pelbagai inisiatif termasuk pemodenan teknologi pertanian, pembangunan zon pengeluaran makanan dan pengukuhan rantaian bekalan.

Jelasnya, keluasan bertanam bagi negeri ini seluas 499,600 hektar dengan tanaman utama adalah kelapa sawit meliputi 343,970 hektar diikuti padi (77,220 hektar), getah (44,500 hektar) dan tanaman lain (13,980 hektar).

Secara keseluruhannya, masa depan pertanian Perak di bawah Rancangan Struktur Negeri (RSN) beralih daripada kaedah tradisional kepada intensif teknologi bagi memastikan negeri ini kekal sebagai penyumbang utama ekonomi negara dan pada masa yang sama memastikan kelestarian alam sekitar.