liza14/07/2026 - 09:28 Ilustrasi pelabuhan di Port Dickson apabila siap kelak Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Julai – Projek pelabuhan kontena pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan Tanco Holdings Bhd di Port Dickson terus menunjukkan perkembangan positif apabila memperoleh beberapa lagi kelulusan penting daripada pihak berkuasa tempatan.
Syarikat itu memaklumkan, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) telah meluluskan pelan bangunan, kerja tanah, jalan dan sistem perparitan serta lampu jalan bagi projek yang akan dibangunkan menerusi anak syarikat milik 79 peratusnya, Midports Holdings Sdn. Bhd. (MHSB).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Tanco berkata kelulusan terbaharu itu menyusuli kelulusan kebenaran merancang yang diberikan oleh MPPD kepada MHSB pada Mac lalu.
“Sebelum itu, MHSB turut memperoleh kelulusan daripada Jabatan Laut Malaysia pada Oktober 2024 bagi membolehkan semua aktiviti marin serta pembinaan pelabuhan berkenaan diteruskan.
“Pelabuhan itu akan dibangunkan di atas tanah seluas 480 ekar (194.25 hektar) di Port Dickson yang mempunyai kedalaman laut semula jadi melebihi 21 meter, sekali gus membolehkannya menerima kapal kontena bersaiz besar.
“Projek berkenaan dirancang sebagai pelabuhan moden yang menggabungkan automasi berasaskan AI, sistem logistik pintar dan teknologi pelabuhan hijau bagi meningkatkan kecekapan operasi serta menyokong pembangunan yang lebih mampan,” katanya.
Pada Disember tahun lalu, MHSB melantik Ocean Bridge International Ports Management Co. Ltd yang berpangkalan di Hong Kong sebagai bakal pengendali terminal menerusi perjanjian pengurusan operasi jangka panjang.

Bagaimanapun, pemilikan semua aset terminal akan kekal di bawah MHSB, manakala Ocean Bridge hanya akan menguruskan operasi terminal sekiranya pelantikan itu dimuktamadkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Tanco sebelum ini turut menamakan CCCC Dredging Southeast Asia Sdn. Bhd., anak syarikat China Communications Construction Company (CCCC), sebagai kontraktor kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) yang dicadangkan bagi komponen laut projek tersebut.
Cadangan itu dibuat menerusi perjanjian rangka kerja dengan nilai indikatif maksimum RM3.53 bilion, meliputi kerja-kerja pembinaan infrastruktur marin bagi pelabuhan berkenaan.
Siri kelulusan yang diterima setakat ini menunjukkan projek tersebut terus bergerak mengikut perancangan dan membuka laluan kepada pelaksanaan fasa pembinaan seterusnya.
Pelabuhan kontena pintar itu dijangka menjadi antara projek pembangunan maritim berskala besar di negara ini yang menggabungkan teknologi digital, automasi dan logistik pintar dalam operasi pengendalian kontena.
Perkembangan itu turut mendapat perhatian pelabur apabila saham Tanco meningkat 4.5 sen atau 23.1 peratus untuk ditutup pada 24 sen pada dagangan 14 Julai 2026 yang memberikan syarikat nilai pasaran sebanyak RM1.47 bilion.
Namun begitu, saham syarikat masih mencatatkan penyusutan hampir 80 peratus sejak awal tahun meskipun projek pelabuhan berkenaan terus menunjukkan kemajuan dari segi kelulusan dan perancangan pembangunan. - DagangNews.com






