haziq29/12/2025 - 11:04 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Dis – Tanco Holdings Bhd menerusi anak syarikat 79% miliknya, Midports Holdings Sdn Bhd (MHSB), melantik syarikat berpangkalan di Hong Kong, Ocean Bridge International Ports Management Co Ltd (OBIPM) sebagai pengendali bagi cadangan pelabuhan kontena pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, Tanco berkata MHSB telah memeterai Perjanjian Pengurusan Operasi Diamanahkan Terminal Kontena Pintar AI Midport dengan OBIPM pada 26 Disember 2025.
Baki 21% kepentingan dalam MHSB dimiliki oleh Global Marque Logistics Sdn Bhd.
Lembaga pengarah MHSB terdiri daripada Pengarah Urusan Kumpulan Tanco, Datuk Seri Andrew Tan Jun Suan, Datuk Chuah Lim Leng serta Edwin Tan Kium Suan.
Cadangan pelabuhan kontena pintar AI itu akan dibangunkan di atas tanah seluas 480 ekar milik Tanco yang mempunyai akses semula jadi perairan dalam melebihi 21 meter, membolehkannya menampung kapal kontena terbesar dunia.
Di bawah perjanjian tersebut, OBIPM akan bertanggungjawab terhadap operasi dan pengurusan terminal serta aset berkaitan milik MHSB dengan matlamat memastikan operasi yang cekap dan menguntungkan.
Ini termasuk penggunaan teknologi AI dan automasi pelabuhan termaju bagi logistik pengangkutan kontena, pengendalian kargo, penyimpanan, pembungkusan dan pembongkaran, perkhidmatan ejen serta perniagaan pelabuhan berkaitan lain.
OBIPM turut akan menyediakan sokongan teknikal dan perkhidmatan perundingan meliputi pengoptimuman reka bentuk terminal, kajian kebolehlaksanaan, pemilihan dan konfigurasi peralatan, teknologi pengeluaran, peraturan operasi, piawaian penyelenggaraan, struktur organisasi, latihan kakitangan serta pentauliahan pelabuhan.
Sebagai sebahagian daripada pengaturan tersebut, OBIPM akan menempatkan pasukan pengurusan di terminal dan mengendalikannya melalui MHSB sebagai platform operasi.
OBIPM akan memikul tanggungjawab keseluruhan ke atas operasi harian, pengurusan aset dan peralatan, kawalan keselamatan serta penyeliaan kakitangan dalam skop yang dipersetujui.
Bagaimanapun, hak pemilikan dan pelupusan akhir aset terminal kekal di bawah MHSB, yang juga akan menanggung sepenuhnya keuntungan dan kerugian hasil operasi pelabuhan berkenaan.
Tanco memaklumkan perjanjian tersebut tidak memerlukan kelulusan pemegang saham syarikat atau pihak berkuasa kawal selia. - DagangNews.com
