'Tanda harga' Faisal tinggi

23 May 2023 • 8:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Faisal (kanan) dilaporkan mendapat perhatian dua kelab Korea Selatan.

KELAB yang berminat untuk menebus kontrak tonggak Selangor FC, Faisal Halim perlu bersedia membayar dengan harga tinggi.

Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, pihaknya tidak akan mudah untuk melepaskan pemain lincah itu kerana dia antara aset penting The Red Giants.

Namun, beliau menegaskan belum menerima sebarang tawaran buat masa ini walaupun timbul khabar angin mengatakan dua kelab dari Korea Selatan berminat ‘menyambar’ Faisal.

“Kami belum mendapat sebarang surat daripada mana-mana kelab atau ejen tetapi apabila surat diterima, kami akan pertimbangkan dengan sewajarnya.

“Soal ini (harga Faisal) perlu dibawa ke Jawatankuasa Teknikal dan Ahli Lembaga Pengarah. Ia hanya boleh dibincangkan apabila sudah ada tawaran.

“Namun, Faisal merupakan pemain penting buat pasukan, jadi kami harus tengok apa tawaran yang masuk. Buat masa ini belum ada lagi, hanya spekulasi,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan dua kelab dari Korea Selatan iaitu Incheon United dan Suwon Samsung Bluewings berminat mahu mendapatkan khidmat bintang Harimau Malaya itu bagi mengisi kuota import Asia.

Berita tersebut masih spekulasi dengan kedua-dua kelab berkenaan juga belum mengeluarkan sebarang kenyataan atau menyatakan minat secara rasmi kepada Selangor FC.

Sebelum ini, gergasi Lembah Klang itu pernah meletakkan klausa pelepasan RM6 juta kepada mana-mana pasukan untuk mendapatkan bekas pemain pertahanannya, Syahmi Safari pada 2019.

Malah, tidak mustahil Selangor FC akan meletakkan ‘tanda harga’ hampir sama atau lebih tinggi ke atas Faisal yang berhijrah dari Terengganu FC (TFC) musim ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved