Tanda Harga Tempatan ROG Ally Diperlihatkan – Akan Dijual Pada Harga RM3299

TechnologyDigital
12 Jun 2023 • 6:56 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

ASUS Malaysia sebelum ini sudahpun mengesahkan bahawa peranti konsol gaming padat ASUS ROG Ally akan dijual di pasaran tempatan tidak lama lagi. Terkini, mereka juga telah mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya model yang dikuasakan cip pemprosesan AMD Ryzen Z1 Extreme akan dibawa masuk.

Bukan itu sahaja, melalui sebuah teka-teki di laman Facebook mereka, ASUS Malaysia juga memperlihatkan “tanda harga” tempatan ASUS ROG Ally Z1 Extreme ini dimana pembaca perlu menyelesaikannya menggunakan kaedah persamaan serentak.

image is not available

Tip yang diberikan oleh ASUS Malaysia ialah bahawa model komputer riba pertama yang diperlihatkan didalam persamaan ini ialah ASUS ROG Flow Z13 ACRNM yang mempunyai tanda harga RM12,999. Jadi apabila nilai tersebut dimasukkan kedalam persamaan pertama, anda akan mendapat harga untuk komputer riba ASUS ROG STRIX SCAR 18, yang berharga RM18,999.

Harga tersebut kemudiannya boleh dimasukkan kedalam persamaan kedua untuk mendapatkan tanda harga komputer riba ASUS ROG Zephyrus Duo 16 model premium (AMD Ryzen 9 7945HX, NVIDIA GeForce RTX 4090) berharga RM22,999.

Harga ini kemudiannya boleh dimasukkan kedalam persamaan ketiga untuk mendapatkan tanda harga ASUS ROG model Ally Z1 Extreme, iaitu RM3299.

ASUS Malaysia akan hadir dengan acara pelancaran rasmi pada 19 Jun ini, dimana mereka akan memperlihatkan tanda harga rasmi peranti ini. Setakat ini, harga tempatan untuk ASUS ROG Ally model AMD Ryzen Z1 tidak diketahui lagi.