PENGUMUMAN Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa gabungan itu bersedia bertanding di semua kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU), serta tidak teragak-agak membubarkan Dewan Rakyat lebih awal, dilihat sebagai mesej politik tegas sejak tertubuhnya Kerajaan Perpaduan.
Kenyataan itu juga secara tidak langsung memberi isyarat bahawa gabungan pimpinan itu mahu menguji kekuatan sendiri selepas beberapa siri ketegangan dengan rakan sekutu, khususnya Barisan Nasional (BN).
Selain itu ia juga boleh ditafsir sebagai amaran bahawa kerjasama sedia ada bukan sesuatu yang mutlak jika terus diganggu oleh tuntutan politik atau ugutan dalaman.
Namun jika dilihat secara positif, pendirian tersebut boleh meningkatkan moral akar umbi PH yang sebelum ini berasakan gabungan itu terlalu bergantung kepada BN.
Dengan menawarkan pertandingan di semua kerusi, PH dapat menonjolkan keyakinan terhadap jenama sendiri dan mengukuhkan kedudukan tawar-menawar dalam rundingan agihan kerusi.
Langkah itu walau bagaimanapun bukan tanpa risiko kerana sekiranya PH dan BN gagal mencapai persefahaman, pertandingan sesama sendiri berpotensi memecahkan undi penyokong Kerajaan Perpaduan dan memberi kelebihan besar kepada Perikatan Nasional (PN) di kawasan Melayu.
Selain itu, pembubaran Parlimen lebih awal ketika ekonomi dan kos sara hidup masih menjadi isu utama mungkin mengundang persepsi bahawa kepentingan politik mendahului keutamaan rakyat.
Jika hubungan terus meruncing, tidak mustahil PRU atau PRN akan menyaksikan pertandingan terbuka antara parti-parti yang kini berada dalam kerajaan yang sama.
Tindakan itu menandakan bahawa PH mahu dilihat sebagai kuasa politik yang mampu berdiri sendiri, bukan sekadar bergantung pada formula kompromi semasa.






