Tangani simptom awal ketegangan masyarakat sebelum merebak - Dr Sathia

LocalPolitics
14 Mar 2026 • 4:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dr Sathia

SHAH ALAM – Simptom awal ketegangan dalam masyarakat perlu ditangani secara bijaksana dan berhemah sebelum ia berkembang menjadi konflik lebih besar, kata Pengarah Jabatan Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan.

Menurut beliau, pendekatan tersebut boleh diibaratkan seperti rawatan awal dalam bidang perubatan yang bertujuan mengelakkan sesuatu penyakit daripada menjadi lebih serius.

Dr Sathia Prakash berkata, sebagai seorang doktor, beliau sering melihat bagaimana sesuatu penyakit bermula dengan simptom kecil yang kadangkala dipandang remeh.

"Kadangkala hanya sedikit ketidakselesaan atau tanda ringan.

"Namun jika gejala awal itu diabaikan, keadaan boleh menjadi lebih serius.

"Dalam bidang perubatan, rawatan awal amat penting bagi mengelakkan komplikasi yang lebih besar. Prinsip sama sebenarnya boleh difahami dalam konteks kehidupan bermasyarakat,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Dr Sathia berkata, perkembangan semasa menunjukkan wujud tanda-tanda awal ketegangan dalam masyarakat, khususnya melibatkan isu kaum dan agama yang memerlukan pendekatan berhati-hati.

Menurutnya, salah faham kecil, kenyataan tidak sensitif serta reaksi emosi di ruang awam boleh dengan segera mencetuskan kegelisahan dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia.

"Malaysia sejak dahulu dibina atas kepelbagaian. Rakyat daripada pelbagai agama, budaya dan bahasa hidup bersama di negara ini.

"Dalam kehidupan seharian, kita bekerja bersama, belajar bersama, berniaga bersama dan membina masa depan bersama. Hubungan ini terbina melalui pengalaman panjang yang memerlukan kesabaran serta sikap saling menghormati,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, dalam suasana semasa, kata-kata yang dilontarkan tanpa pertimbangan boleh memberi kesan besar kepada hubungan antara masyarakat.

Jelasnya, perbincangan berkaitan agama dan kaum merupakan perkara yang sangat sensitif dan perlu ditangani secara berhemah.

"Kenyataan kasar, sindiran atau provokasi bukan sahaja melukakan perasaan pihak lain, malah boleh menimbulkan rasa tidak percaya dalam kalangan masyarakat,"ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa sejarah negara pernah menunjukkan betapa rapuhnya keharmonian sekiranya ia tidak dipelihara dengan baik.

Menurutnya, tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 merupakan peringatan penting bahawa keamanan dan perpaduan negara tidak boleh dipandang ringan.

"Peristiwa tersebut mengajar kita bahawa keharmonian memerlukan usaha berterusan daripada semua pihak," katanya.

Sehubungan itu, Dr Sathia Prakash berkata, apabila timbul isu yang menyentuh sensitiviti masyarakat, pendekatan yang tenang, bijaksana dan adil amat diperlukan bagi meredakan keadaan.

“Tindakan awal untuk menenangkan keadaan sering kali dapat mengelakkan masalah daripada menjadi lebih besar,” katanya.