Tanggapan eksport Malaysia merosot pada 2023 tidak benar, kata MITI

Business & Finance
20 Mar 2024 • 3:06 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tanggapan eksport Malaysia merosot pada 2023 tidak benar, kata MITI

zulfadli

20/03/2024 - 15:06

KUALA LUMPUR 20 Mac - Tanggapan bahawa eksport Malaysia merosot pada 2023 adalah tidak benar, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.

Beliau berkata, antara faktor paling utama yang menyebabkan nilai eksport mengurang adalah penurunan harga kelapa sawit CPO dan harga petroleum.

Katanya, pada tahun 2023, prestasi perdagangan Malaysia melepasi aras RM2 trilion bagi tiga tahun berturut-turut yang berjumlah RM2.637 trilion, namun mengurang 7.3% berbanding tahun 2022.

"Ia adalah susulan daripada harga komoditi yang lebih rendah dan penurunan dalam kitaran semikonduktor dunia serta kesan asas tinggi yang direkodkan pada tahun lepas.

"Sebagai contoh, harga pasaran minyak kelapa sawit CPO bagi tahun 2023 menurun sebanyak 28% berbanding dengan 2022. Sedangkan, menurut data DOSM, jumlah atau volum eksport minyak sawit pada tahun 2023 adalah 14.26 juta tan, iaitu penurunan 4.3% sahaja berbanding dengan 14.91 juta tan bagi 2022," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Rita Sarimah Patrick Insol berhubung penurunan eksport negara turun pada 2023 sedangkan nilai ringgit turun ke paras terendah dalam tempoh sama.

Liew berkata, memandangkan barangan elektrik dan elektronik (E&E), produk petroleum, minyak sawit dan produk-produk berkaitan minyak sawit, kimia dan bahan kimia serta LNG membentuk 64.6% daripada jumlah eksport negara, maka nilai eksport pada tahun 2023 menurun kerana faktor harga komoditi dan permintaan global yang menurun.

Namun katanya, perlu ditegaskan bahawa Malaysia tetap mengekalkan lebihan dagangan 26 tahun berturut-turut sejak tahun 1998, bernilai RM214.06 bilion.

"Strategi jangka panjang negara adalah untuk mewujudkan kompleksiti ekonomi sebagaimana Misi 1 yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 supaya industri dan eksport negara lebih pelbagaian dan mengurangkan kebergantungan terhadap eksport kelapa sawit dan petroleum.

"Inilah sebabnya mengapa kerajaan giat meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) terutamanya dalam sektor bernilai tinggi dan berteknologi. - DagangNews.com