
SHAH ALAM - Kerajaan digesa menangguhkan sebarang bentuk kenaikan tarif elektrik sekurang-kurangnya sehingga krisis kekurangan bekalan yang menyebabkan kenaikan mendadak harga barangan keperluan kembali pulih.
Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kenaikan tarif elektrik di saat pengguna sudah teruk diasak kenaikan harga barang keperluan lain pastinya sangat tidak wajar.
Malah katanya, sebarang peningkatan dalam kos tenaga elektrik juga pasti akan menyumbang kepada kenaikan kos operasi dan pengeluaran yang akhirnya akan turut ditanggung pengguna.
"Tarif elektrik dijangka naik mulai 1 Julai. Tenaga Nasional Berhad (TNB), sepertimana syarikat tenaga yang lain di seluruh dunia sedang dihimpit oleh kenaikan kos pengeluaran akibat lonjakan harga arang batu melebihi 117 peratus sejak hujung tahun lalu.
"TNB sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) gergasi dengan keuntungan terkumpul lebih RM52 bilion pastinya mampu untuk menyerap impak kenaikan kos bahan api dan kos operasi mereka.
"Buktinya, walaupun kos bahan api meningkat sebanyak 26 peratus sepanjang tahun 2021, keuntungan operasi TNB telah meningkat sebanyak 10 peratus (RM742 juta) untuk tahun tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, penangguhan kenaikan tarif elektrik adalah demi melindungi pengguna.
"Pengumuman tambahan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) sebanyak RM100 dan RM50 juga akan terbukti sia-sia dan gagal membantu rakyat marhaen sekiranya kadar inflasi terus meningkat akibat kenaikan tarif elektrik sama ada untuk pengguna komersial apatah lagi untuk pengguna domestik," katanya.

