
Kota Kinabalu: Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mahu fi lesen hotel baharu yang berkuat kuasa sejak 1 Jan lalu ditangguh sementara menunggu perbincangan dengan pihak berkepentingan untuk kadar yang adil dan mampan.
Ia juga mahu wakil rakyat memainkan peranan mereka untuk mencegah penutupan hotel dan pemberhentian pekerja. Terdahulu, Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia telah menyuarakan sentimen sama.
“Hotel-hotel di Kota Kinabalu mengalami peningkatan kos operasi mendadak susulan pengembalian kadar pelesenan hotel Undang-undang Kecil Hotel dan Rumah Penginapan 1966,” kata Presidennya Datin Christina Toh.
Peralihan daripada Struktur Fi Lesen Kabinet 1989 kepada kadar 1966 telah mengakibatkan peningkatan mendadak dalam kos bagi pengusaha hotel.
Struktur Fi Lesen Kabinet 1989 untuk kelas pertama, kedua dan ketiga ialah RM10 sebilik setahun, manakala struktur fi 1966 yang dikembalikan untuk kelas pertama ialah RM4.65 sebilik sehari, kelas kedua RM2.65 sebilik sehari dan kelas ketiga RM1.30 sebilik sehari.
“Sebelum ini pengusaha hotel dikehendaki membayar fi lesen RM10 sebilik setahun sahaja.
“Di bawah struktur fi baharu, mereka kini perlu membayar kadar bagi setiap bilik diduduki setiap bulan, berdasarkan kategori klasifikasi hotel DBKK iaitu kelas pertama, kedua dan ketiga,” kata Pengerusi MAH Sabah Labuan Hafizan Wong.
“Peningkatan kos yang begitu mendadak mungkin memaksa sesetengah daripada kami mengurangkan perkhidmatan kami, memberhentikan pekerja, atau, dalam kes teruk, menghentikan operasi,” katanya.
Di bawah struktur fi dikembalikan itu, sebuah hotel 100-bilik yang diklasifikasikan sebagai Hotel Kelas Kedua kini perlu membayar RM80 setiap bilik yang diduduki sebulan.
Jika hotel itu mencapai penghunian 60 peratus atau 1,860 malam bilik sebulan, fi lesen bulanan akan menjadi RM4,800 sebulan atau RM57,600 setahun, suatu peningkatan drastik daripada fi tahunan RM1,000 sebelumnya.
Walaupun MAH mengakui usaha Kota Kinabalu untuk mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan tanggungjawab alam sekitar, persatuan itu menekankan bahawa kemakmuran bersama sebenar hanya boleh dicapai apabila semua penyedia penginapan, termasuk Penginapan Sewa Jangka Pendek (STRA), diselia mengikut piawaian sama.
Kenaikan fi sekarang ini secara tidak seimbang menjejaskan hotel berlesen yang telah mematuhi peraturan ketat, cukai dan kos operasi, manakala banyak pengendali STRA tidak berlesen terus beroperasi tanpa kawalan.
Ini mewujudkan medan permainan tidak seimbang dan meletakkan beban kewangan yang tidak adil kepada hotel yang mematuhi undang-undang.
“Sekiranya Kota Kinabalu ingin menambah dana untuk penyelenggaraan bandar, marilah kita bekerjasama untuk merapatkan jurang terhadap penginapan tidak berlesen dan bukannya menghukum hotel berlesen yang mengikut peraturan,” kata Toh.
“Kami bukan menentang kenaikan fi semata-mata. Kami memahami keperluan untuk menyumbang untuk memastikan kemakmuran bandar tetapi ini mesti dilakukan secara adil.
“Hotel yang mematuhi undang-undang tidak seharusnya menanggung beban kewangan semata-mata sementara hotel lain terus beroperasi tanpa pelesenan dan sumbangan kewangan sewajarnya,” katanya.
“Walaupun kami menyokong peraturan yang mengangkat sektor hospitaliti, dasar mestilah praktikal dan progresif.
“Penggubal undang-undang perlu mengambil kira pihak berkepentingan industri kerana kami yang menjalankan perniagaan di lapangan, sentiasa dekat dengan nadi industri ini.”
Kenaikan mendadak dalam fi lesen boleh membawa kesan meluas kepada sektor hospitaliti dan ekonomi pelancongan Kota Kinabalu.
Hotel-hotel mungkin terpaksa menaikkan harga untuk mengimbangi kos, menjadikan penginapan tempatan kurang menarik untuk pelancong domestik dan antarabangsa.
Peningkatan kos boleh mendorong pelancong Malaysia untuk mencari destinasi percutian lebih murah di luar negara, sekali gus menjejaskan kempen pelancongan tempatan.
Hotel kecil dan sederhana mungkin bergelut untuk terus beroperasi, membawa kepada pemberhentian pekerja dan menghentikan pelaburan masa depan dalam sektor perhotelan.
Tetamu mungkin menyalahkan hotel atas kenaikan harga, tanpa menyedari bahawa kenaikan ini berpunca daripada fi yang dikenakan kerajaan, seterusnya menghakis kepercayaan dalam industri.

