
Kota Kinabalu: Ketua Pemuda Pertubuhan Gagasan Ekonomi Negeri Sabah (PGENS) Jonehtan Matheus (gambar) meluahkan kekecewaannya berhubung keputusan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk menangguhkan majlis konvokesyennya susulan pengumuman tarikh Pilihan Raya Negeri oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 29 November.
“Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang menjadi kebanggaan rakyat Sabah, isu ini seharusnya ditangani dengan pendekatan yang matang dan berpaksikan penyelesaian menang-menang UMS, SPR, dan masyarakat yang terlibat,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, beliau memahami kekecewaan dirasai oleh graduan dan keluarga mereka, yang telah membuat persiapan lebih awal termasuk pembelian tiket penerbangan, tempahan penginapan dan perancangan cuti kerja.
“Perubahan tarikh pada saat akhir bukan sahaja menimbulkan kesulitan logistik, malah membebankan keluarga yang datang dari jauh serta mereka yang berpendapatan rendah,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, keputusan SPR perlu dihormati sebagai sebahagian daripada proses demokrasi negara.
“Kekalkan tarikh konvokesyen asal dengan sedikit pelarasan masa atau jadual bagi membolehkan graduan, keluarga dan staf untuk mengundi.
“Menjalinkan kerjasama rasmi antara UMS dan SPR, termasuk menyediakan kaunter maklumat khas mengenai lokasi dan waktu mengundi di kampus, memudahkan undi awal atau undi pos bagi staf dan pelajar yang terlibat dalam pengurusan konvokesyen serta menyediakan kemudahan khas bagi peserta konvokesyen yang perlu mengundi.
“Penyusunan semula sesi konvokesyen, contohnya, sesi pagi dan petang, bagi mengelakkan pertindihan dengan waktu puncak pengundian.
“Pendekatan ini bukan sahaja menghormati keputusan SPR, malah memperlihatkan kebijaksanaan kepimpinan UMS dalam mengimbangi keperluan akademik dan tanggungjawab sivik,” katanya.
