
SHAH ALAM, 8 Julai: Kerajaan menjangkakan tanggungan subsidi bahan api negara masih tinggi iaitu hampir RM3.5 bilion sebulan, meskipun harga minyak mentah Brent kini menyederhana kepada antara AS$70 hingga AS$90 setong.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kerajaan bagaimanapun kekal komited mengekalkan subsidi bahan api secara bersasar bagi melindungi kebajikan rakyat di samping mengoptimumkan perbelanjaan mengurus.
"Selain itu, usaha akan diteruskan untuk memastikan perbelanjaan pembangunan di bawah RMK13 disalurkan kepada program dan projek yang berimpak tinggi dan memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat," katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai langkah kerajaan mempertimbangkan keperluan mengekalkan subsidi bahan api dengan keutamaan perbelanjaan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), khususnya dalam keadaan harga minyak dunia tidak menentu akibat konflik di Asia Barat.
Sebelum ini, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan dijangka menanggung hampir RM40 bilion subsidi produk petroleum tahun ini sekiranya harga pasaran semasa bahan api kekal.
Peningkatan jumlah subsidi itu membolehkan warganegara Malaysia berusia 16 tahun ke atas menikmati petrol RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter.
Kerajaan menanggung subsidi hampir RM800 juta sebulan bagi RON95 dan diesel pada Januari serta Februari lalu, sebelum meningkat kepada sekitar RM5 bilion sebulan pada Mac dan April.
Mengulas kesan konflik di Asia Barat, Akmal berkata prestasi ekonomi negara pada suku pertama tahun ini menunjukkan gangguan perdagangan di Selat Hormuz masih berada pada tahap terkawal.
Katanya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 5.4 peratus, disokong oleh daya tahan ekonomi domestik, permintaan dalam negeri yang kukuh serta peningkatan eksport produk elektrik dan elektronik (E&E).
"Kadar inflasi juga terkawal dengan sedikit peningkatan kepada 2.0 peratus pada Mei 2026 daripada 1.9 peratus pada April 2026," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan komited memastikan agenda pembangunan di bawah RMK13 diteruskan melalui pendekatan fiskal yang lebih berhemah, bersasar dan berasaskan keutamaan.

