
Keputusan pemilihan PKR baru-baru ini sekali lagi membangkitkan luka silam dan mendedahkan corak lama yang berterusan - retorik mengatasi realiti, nostalgia mengatasi keperluan. Saya telah lama berpegang kepada satu prinsip: kepimpinan bukan sekadar jawatan, ucapan atau sorakan. Ia soal tanggungjawab, keberanian untuk bertindak dan kerendahan hati untuk berkhidmat. Pemilihan ini bukan sekadar perebutan jawatan. Ia adalah ujian kematangan—sama ada PKR dan kami semua yang berjuang demi reformasi, benar-benar bersedia keluar dari bayang-bayang pembangkang dan menggalas beban pemerintahan dengan penuh tanggungjawab.
Kita perlu berterus terang.
Nurul Izzah Anwar, Timbalan Presiden PKR yang baru dipilih, sememangnya dikagumi ramai. Beliau petah, berprinsip dan bersih daripada kekotoran politik yang sering mencemarkan ramai pemimpin. Tetapi kekaguman tidak menjadikan seseorang itu pemimpin. Jawatan Timbalan Presiden bukan untuk perhiasan—ia jawatan yang menuntut kerja keras, kecekapan dan ketegasan. Ia menuntut seseorang menjadi pedang dan perisai kepada Presiden, bukan penonton ketika krisis melanda.
Saya masih menaruh harapan kepada Izzah. Namun harapan bukan strategi. Sejarah politik beliau penuh dengan kata-kata indah, tetapi kurang pencapaian yang memberangsangkan. Itu perlu diubah. Masa untuk memberi inspirasi dari jauh sudah berlalu. Kini beliau mesti bertindak dari dalam. Bertahan apabila perlu, menyerang bila wajib. Beliau harus melepasi statusnya sebagai anak Presiden dan menjadi penggerak reformasi sebenar.
Kepada (Datuk Seri) Rafizi Ramli yang tewas—ini masa untuk bermuhasabah, bukan menuding jari kepada sesiapa. Pernah suatu ketika, beliau mengkagumkan ramai dengan data, idea dan ketajaman strategi, terutamanya ketika (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dipenjarakan. Tetapi waktu itu sudah lama berlalu. Sebagai Menteri Ekonomi, beliau gagal menyampaikan dasar yang bermanfaat untuk semua. Yang kita dapat selama ini hanyalah sidang media demi sidang media. Tiada reformasi, hanya rasionalisasi. Beliau telah terperangkap dalam ilusi bahawa memerintah adalah hasil daripada kejayaan kempen politik. Di situlah silapnya.

Dalam kerajaan, keputusan sukar mesti diambil. Janji akan dilanggar, bukan kerana khianat tetapi kerana realiti. Rakyat akan kecewa. Itulah harga kuasa. Itulah yang Anwar Ibrahim hadapi setiap hari sebagai Perdana Menteri. Hanya mereka yang sanggup memikul beban ini tanpa lakonan layak berada di pentas kuasa.
Rafizi kini lebih selesa mengkritik daripada membina. Nada beliau selepas kekalahan menunjukkan keangkuhan: “Saya betul, kamu salah.” Itu bukan kepimpinan—itu ego. Pemimpin sebenar belajar daripada kekalahan, bukan menyerang kerana kecewa. Jika satu-satunya cara untuk kekal relevan ialah dengan merosakkan parti sendiri, maka jelas masanya telah tamat.
Ini bukan penghinaan. Ini peringatan.
PKR, parti yang tidak saya sertai tetapi menerima sokongan sedari awal kerana kepercayaan kepada perjuangan Anwar dan (Datin Seri) Dr Wan Azizah, mesti keluar daripada sindrom ‘parti pembangkang’. Era itu telah tamat. Ujian sebenar bukan sekadar berkata benar kepada kuasa—tetapi menggunakan kuasa dengan kebenaran. Kita perlu kurangkan drama tetapi melebih tindakan. Kurangkan memuja individu tertentu, tetapi lebihkan kerja berpasukan. Rakyat sudah memberi kepercayaan. Kini kita wajib menunaikannya, setiap hari.
Kepada Izzah: Peluang yang terbentang di hadapan amat besar. Anda boleh menjadi pemimpin pelapis untuk Malaysia, tetapi anda mesti mula bertindak. Tegas. Berani. Bersedia menggalas tanggungjawab sepenuhnya—bukan dalam rasuah, tetapi dalam tugas sebenar.
Kepada Rafizi: Ubati luka di hati. Belajar. Matangkan diri. Masih ada ruang untuk anda menyumbang, tetapi letakkan negara melebihi ego peribadi. Malaysia masih perlukan anda, jika anda benar-benar mahu berkhidmat.
Dan kepada kita semua: Politik sebagai persembahan sudah berakhir. Kini tiba masanya politik sebagai amanah dimulakan.
Malaysia Boleh. Malaysia Mesti. - Getaran, 25 Mei 2025

