
PADANG BESAR – Polis melupuskan 14 tangki minyak kenderaan yang diubah suai termasuk disembunyikan di dalam tayar ganti dipercayai bagi tujuan menyeludup bahan api bersubsidi ke negara jiran.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, modus operandi menggunakan tangki ubah suai itu dikesan banyak digunakan sindiket penyeludupan sejak tahun lalu.
“Sebanyak 14 tangki minyak kenderaan yang diubah suai antara barang kes dilupuskan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar tahun ini.
“Kesemua tangki minyak berkenaan terdiri daripada 12 tangki kereta dan dua tangki kenderaan pikap dengan keseluruhan nilainya dianggarkan RM25,000,” katanya pada sidang akhbar di IPD Padang Besar di sini hari ini.
Mohd. Shokri berkata, pelupusan berkenaan dilakukan selepas mendapat kelulusan dengan mengambil kira status kes, keputusan mahkamah atau arahan pihak atasan serta mengikut tatacara ditetapkan. – KOSMO! ONLINE
The post Tangki seludup bahan api dilupus appeared first on Kosmo Digital.



