Tangkis Fitnah Di Media Sosial, Geng Perpaduan Dilancar Untuk Pengundi Muda

Politics
31 Jul 2023 • 7:42 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Fahmi Fadzil dan Young Syefura Othman antara yang berucap pada pelancaran Geng Perpaduan - gambar Facebook

SUNGAI BULOH — Peranan besar dimainkan generasi muda dalam membangunkan negara tidak dapat dinafikan, termasuk ketika pilihan raya.

Ia dibuktikan menerusi strategi diatur blok pembangkang, Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) November tahun lalu yang menyaksikan mereka berjaya menguasai 74 Parlimen selepas berhasil menawan hati pengundi muda.

Menyedari trend itu, sayap Pemuda di bawah komponen Kerajaan Perpaduan berusaha menarik sokongan golongan terbabit, selaras dengan demografi pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal berlangsung.

Dikenali sebagai Geng Perpaduan, gabungan 18 sayap Pemuda itu dilancarkan malam tadi, dengan peranan membantu menggerakkan jentera pilihan raya kerajaan.

image is not available
Geng Perpaduan berperanan menarik minat pengundi muda dan menangkis fitnah - gambar Facebook

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, sasaran utama Geng Perpaduan ialah media sosial dan netizen, khususnya TikTok bagi menawan hati semua anak muda di enam negeri terlibat.

"Tugas kita berat, perjalanan masih jauh. Ada 12 hari lagi, kita tahu fungsi dan tugas kita. Manfaatkan media sosial kita, Tik Tok kita.

"Kita perlu masuk ke gelanggang TikTok, lawan semua fitnah yang mereka lontarkan. Masuk, tawan, dan tewaskan mereka di Tik Tok," katanya ketika berucap di Majlis Pentas Geng Perpaduan, di sini malam tadi.

Majlis yang berlangsung di Kota Damansara itu turut menghimpunkan barisan kepimpinan sayap pemuda gabungan Kerajaan Perpaduan.

Turut berucap ialah Timbalan Ketua Pemuda DAPSY Kebangsaan, Young Syefura Othman yang juga menekankan penggunaan media sosial sebagai medium berkempen.

"Kita semua ada handphone masing-masing, gunakan handphone kita untuk jadi ejen penyebar.

"Gunakan handphone kita untuk sebarkan maklumat. Kalau mereka di TikTok, kita serang TikTok. Kalau mereka di Twitter kita pergi Twitter, kalau mereka di Facebook kita pergi Facebook. Kita kena bantah dan lawan segala fitnah yang dilemparkan," tegasnya.

Sesuai dengan selera anak muda, acara berkenaan walau berorientasikan politik, tetap menampilkan persembahan hiburan seperti kumpulan Floor 88.

image is not available
Kumpulan Floor 88 antara artis yang diundang untuk memeriahkan acara - gambar Facebook

Turut dilihat hadir ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Salleh, Ketua Pemuda GRS, Jonnybone Kurum dan beberapa lain.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengumumkan, bilangan pengundi muda berusia 18 hingga 39 tahun yang layak mengundi pada PRN kali ini menceah lima juta.

Selangor mencatatkan bilangan keseluruhan pengundi tertinggi iaitu 3.7 juta diikuti Kedah (1.6 juta), Kelantan (1.4 juta), Pulau Pinang (1.2 juta), Terengganu (930,894) dan Negeri Sembilan (864,425). - Getaran, 31 Julai 2023