Tanjong Malim Hi-Tech Park bernilai RM1.4 bilion disasar siap suku ketiga 2029

LocalBusiness & Finance
21 Sep 2026 • 4:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tanjong Malim Hi-Tech Park bernilai RM1.4 bilion disasar siap suku ketiga 2029 Image from: Tanjong Malim Hi-Tech Park bernilai RM1.4 bilion disasar siap suku ketiga 2029 liza21/09/2026 - 16:56 Majlis pecah tanah projek berkenaan telah disempurnakan Saarani (tengah) hari ini Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Sept – Pembangunan Taman Teknologi Tinggi Tanjong Malim yang merangkumi kawasan seluas 178.8 hektar dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.4 bilion disasarkan siap sepenuhnya menjelang suku ketiga 2029.

 

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata fasa pertama projek yang dibangunkan oleh Setia Awan Land Sdn Bhd itu melibatkan kawasan seluas 41.6 hektar dengan kadar pengambilan sebanyak 50 peratus sejak mula dibangunkan pada Jun 2025.

 

“Pembangunan ini telah berjaya menarik minat pelabur daripada sektor pembuatan dan automotif, selain menarik minat daripada syarikat lain yang mahu mengembangkan operasi mereka di Tanjong Malim.

 

“Sebab itu saya melihat keputusan Setia Awan untuk membangunkan Tanjong Malim Hi-Tech Park ini sebagai amat tepat pada masanya dan angka ini membawa satu mesej yang cukup jelas iaitu adanya keyakinan terhadap masa depan Tanjong Malim,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Tanjong Malim Hi-Tech Park dan Ionera Commercial Development di Jalan Protokol hari ini.

 

Yang turut hadir Penasihat Undang-Undang Negeri Perak Datuk Azmir Shah Zainal Abidin, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Mohd Zaki Mahyudin dan Pengarah Setia Awan Datuk Marcus Doh.

 

Saarani berkata pembangunan Tanjong Malim Hi-Tech Park turut selari dengan usaha kerajaan negeri menarik pelaburan berkualiti dan memperkukuh sektor perindustrian berteknologi tinggi di Perak.

 

Peluang Pekerjaan

Katanya, ia juga mampu membuka lebih banyak peluang kepada pelabur dan pemain industri untuk menjalankan aktiviti perniagaan, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

 

“Apabila lebih banyak pelaburan masuk, ia bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan tetapi turut merancakkan aktiviti ekonomi dan perkhidmatan sokongan di sekitar Tanjong Malim.

 

“Kerajaan negeri juga akan memastikan ekosistem yang diperlukan tersedia bagi memudahkan pelabur beroperasi,” katanya.

 

Sementara itu, Marcus berkata pembangunan Tanjong Malim Hi-Tech Park bakal mewujudkan 10,000 hingga 15,000 peluang pekerjaan apabila beroperasi sepenuhnya, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.

 

Beliau berkata peluang pekerjaan itu dijangka meliputi pelbagai sektor susulan kemasukan syarikat dalam bidang pembuatan, automotif, teknologi, logistik dan perkhidmatan sokongan di taman perindustrian tersebut.

 

“Bagi kami, pembangunan ini bukan sekadar menyediakan tanah perindustrian, tetapi membina satu ekosistem yang lengkap dengan infrastruktur, kemudahan komersial dan perkhidmatan sokongan supaya perniagaan dapat beroperasi serta berkembang dalam tempoh jangka panjang,” katanya. – BERNAMA
 

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved