‘Tanya Azmin Siapa Popularkan Istilah PAS Parti ‘Pak Lebai’ - Ahmad Zahid

Politics
23 Oct 2022 • 6:06 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ahmad Zahid berkata istilah ‘pak lebai’ mula dipopularkan oleh Mohamed Azmin Ali pada 2017. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta PAS menggunakan politik untuk memperkuat agama dan bukan bertindak sebaliknya, iaitu untuk memperkuat politik.

Beliau berkata, ia termasuk tidak melabelkan pihak lain secara kerap dengan gelaran negatif kerana berasa diri terlalu suci dan murni.

“Sehinggakan UMNO/BN (Barisan Nasional) (jika) enggan memenuhi faedah dan manfaat mereka digelar sebagai haiwan dan seumpamanya.

“Sedangkan mereka sendiri tidak suka dikaitkan dengan sesuatu gelaran walaupun hanya ‘pak lebai’,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

image is not available
Ahmad Zahid Hamidi

Ahmad Zahid berkata, agak menghairankan apabila sebuah parti yang memandang rendah BN dengan gelaran haiwan dan tumbuhan, melenting mendengar istilah ‘pak lebai’.

“Sendiri makan cili, sendiri terasa pedas. Bukankah istilah ‘pak lebai’ lebih harmoni, berbanding gelaran ‘itik’ dan ‘durian’.

“Lagipun istilah ‘pak lebai’ dalam konteks politik bukan saya yang cipta, sebaliknya dipopularkan oleh sahabat baharu mereka,” katanya.

image is not available
Mohamed Azmin Ali

Menurut Pengerusi BN itu, pada tahun 2017, istilah ‘pak lebai’ mula dipopularkan mantan Timbalan Presiden PKR merangkap bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya, penyandang kerusi Gombak itu kini adalah Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) yang menyaksikan pemimpin PAS ‘menumpahkan taat setia’. 

Justeru, beliau berkata, seharusnya pemimpin PAS bertanya kepada Mohamed Azmin mengenai istilah ‘pak lebai’ yang digunakan.

“Bagaimana beliau (Mohamed Azmin) memperoleh ilham tersebut dan mengapa beliau ‘menobatkan’ PAS sebagai parti ‘pak lebai’,” katanya.

Menerusi hantaran itu, Ahmad Zahid turut memuatnaik tangkap layar status Twitter diciap Mohamed Azmin pada 21 Mac 2017 yang menulis ‘Ada tok lebai nak tawan Selangor. Kawasan sendiri pun kalah tersungkur’.

Status terbabit dikongsikan Mohamed Azmin sebelum beliau yang ketika itu bersama PKR, menjalin kerjasama politik dengan PAS menerusi PN.

Terdahulu, media melaporkan, Ahmad Zahid berkata, UMNO tidak akan mengadakan sebarang rundingan dengan PAS memandangkan parti ‘pak lebai’ tersebut dilihat tidak mempunyai pendirian tetap dalam membentuk kerjasama politik.

Jelasnya, pendekatan diambil itu bukan menunjukkan parti pimpinannya bersikap riak, ujub, sombong dan takbur, sebaliknya sokongan pengundi ketika ini dilihat lebih memihak kepada BN.

Susulan kenyataan Ahmad Zahid, Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah dilaporkan berkata, parti berkenaan tidak tersinggung digelar ‘pak lebai’ kerana ia bukan gelaran yang hina.

Mohd Amar berkata, PAS dianggap parti ‘pak lebai’ dan ‘parti kampung’ sejak dahulu, malah ia tidak hina, jika dibandingkan gelaran ‘penyamun politik’. - Getaran, 23 Oktober 2022