Tapak khas upacara kematian masyarakat India siap dua tahun lagi

LocalPolitics
16 Nov 2022 • 3:10 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PASIR GUDANG: Pembinaan tapak khas bagi mengendalikan upacara kematian masyarakat India di Tanjung Langsat, dekat sini, dijangka siap dalam masa dua tahun.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata tender pembinaan tapak khas itu yang bernilai RM1.3 juta, telah dikeluarkan dan kerja pembinaan akan dimulakan tidak lama lagi.

Beliau berkata isu ketiadaan tapak khas bagi mengendalikan upacara kematian komuniti kaum itu di sekitar Masai dan Pasir Gudang sejak lebih 20 tahun lepas, sepatutnya sudah diselesaikan sebelum ini namun ia ditangguhkan berikutan pertukaran kerajaan.

“Pelaksanaan berkenaan akan diteruskan sebagai legasi usaha dan inisiatif dua bekas Menteri Besar Johor daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Usaha berkenaan secara tidak langsung menggambarkan inisiatif kerajaan negeri bagi mengatasi isu yang timbul dalam kalangan masyarakat India dan meningkatkan keselesaan mereka,“ katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Tapak Khairat Masyarakat India di Tanjung Langsat, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri K. Raven Kumar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kahang R. Vidyananthan.

Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Hindu Sangam Negeri Johor K.Vijayan berkata sebelum ini, waris si mati mengadakan upacara itu di mana-mana perairan dan ia dikhuatiri mengancam keselamatan.

Beliau berkata dengan kewujudan tapak berkenaan yang pertama di negeri ini di kawasan seluas 0.4 hektar, keluarga si mati juga tidak perlu menanggung kos tinggi bagi menjalankan upacara tersebut.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan negeri yang meluluskan tapak dan peruntukan berkenaan. Kami berharap kerajaan negeri terus mengambil pendekatan seumpama ini bagi memperkasa masyarakat India,“ katanya.-Bernama