Tapak rangkaian Maxis pertama di Malaysia terima pensijilan ISO 14001:2015 Sistem Pengurusan Alam Sekitar

10 Oct 2023 • 5:21 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tapak rangkaian Maxis pertama di Malaysia terima pensijilan ISO 14001:2015 Sistem Pengurusan Alam Sekitar

zulfadli

10/10/2023 - 17:21

KUALA LUMPUR 10 Okt - Pusat Operasi Teknikal Subang Hi-Tech Maxis ialah tapak rangkaian telekomunikasi pertama di Malaysia yang dianugerahkan sijil ISO 14001:2015 Sistem Pengurusan Alam Sekitar (EMS) oleh SIRIM QAS International.

Pensijilan ini mengiktiraf perancangan, reka bentuk, operasi dan penyelenggaraan peralatan dan kemudahan di tapak rangkaian tersebut.

Ketua Pegawai Rangkaian Maxis, Abdul Karim Ali berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk menyepadukan amalan kemampanan ke dalam operasi perniagaannya untuk memberikan impak bermakna kepada manusia dan planet.

"Kami amat berbangga dengan pengiktirafan ini, kerana ia menandakan bahawa kami berada di landasan yang betul dalam pelaksanaan sistem pengurusan alam sekitar di Subang Hi-Tech dan boleh mencerminkan kawalan yang sama di pusat operasi teknikal Maxis yang lain di seluruh Malaysia.

"Kami akan terus memantau dan menjalankan inisiatif yang memastikan operasi kami terus mampan, meningkatkan kecekapan operasi, memenuhi keperluan pematuhan dan membina kepercayaan pihak berkepentingan dalam perniagaan kami," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Terdahulu, Abdul Karim menerima pensijilan tersebut daripada Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International, Nur Fadhilah Muhammad di Menara Maxis.

Nur Fadhilah berkata, beliau gembira melihat organisasi inovatif seperti Maxis mengambil langkah penting untuk meningkatkan prestasi alam sekitar mereka serta meminimumkan kesan operasi terhadap alam sekitar, kerana ini akan memberikan mereka kelebihan daya saing dalam pasaran.

"Tahniah kepada Maxis atas pengiktirafan penting ini. Saya berharap untuk melihat lebih banyak organisasi mengambil pendekatan strategik untuk menguruskan tanggungjawab alam sekitar mereka," katanya.

ISO 14001:2015 mengenal pasti keperluan untuk pengurusan alam sekitar yang boleh digunakan oleh sebuah organisasi untuk meningkatkan prestasi persekitarannya.

Ia membantu organisasi mengurus tanggungjawab alam sekitar dengan cara yang sistematik dan mencapai matlamat pengurusan alam sekitar yang telah ditetapkan.

Ia juga mendorong syarikat untuk meningkatkan prestasi alam sekitar dengan melihat secara sepenuhnya rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan mereka. - DagangNews.com

View Original Article