
Tarian Zapin Dibawa Ke Uzbekistan, Leona Antara Penari Wakili Malaysia
Personaliti media sosial, Kasih Iris Leona mencuri tumpuan apabila menyertai Festival Tarian Lazgi Antarabangsa 2026 di Uzbekistan.
Menerusi beberapa video yang dimuat naik olehnya dan juga penganjur festival, Leona bersama sembilan lagi penari yang lain termasuk Kasih Leia Ixora segak berbusana tradisional.
Dengan lenggok tarian yang penuh tertib, mereka mempersembahkan tarian zapin di hadapan penonton dari pelbagai negara, termasuk wakil organisasi antarabangsa, diplomat, penyelidik dan tokoh terkemuka dalam bidang koreografi.
"Anak Seni Pandu Puteri, pentas tidak akan bersinar tanpa penghibur yang luar biasa ini.
"Keanggunan dan tenaga mereka menjadikan persembahan ini sebagai salah satu sorotan utama malam tersebut," kata penganjur di Instagram.
Leona ketika ditemubual selepas persembahan berkata dia sangat teruja kerana pertama kali berada di negara itu.
"Kami mempersembahkan satu tarian yang dipanggil Zapin. Ia merupakan tarian tradisional kami dan kami menambah sentuhan fusion pada tarian tersebut.
"Kami sangat seronok membuat persembahan. Ini kali pertama kami berada di negara ini dan kami sangat menyukainya di sini," katanya.
Untuk pengetahuan, festival itu berlangsung di Khiva, Wilayah Khorezm dari 25 April hingga 30 April.
Menurut Kedutaan Uzbekistan, festival ini dianjurkan dengan tujuan untuk memelihara dan mempromosikan tarian tradisional Khorezm iaitu “Lazgi”, yang telah disenaraikan dalam Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO, selain mengukuhkan dialog serta kerjasama budaya antarabangsa.
Baca juga:
Ini Reaksi Rakyat China Tengok Tarian Tradisional Melayu
Episode 1 Dah Rancak, Aksi Tarian Adik Ni Jadi Super Mario Buat Semua Orang Tepuk Tangan
Acara ini menghimpunkan penari profesional, koreografer, sarjana dan penggiat budaya dari pelbagai negara, sekali gus menyediakan platform antarabangsa bagi pertukaran seni serta perbincangan akademik.
Pertandingan tarian yang diadakan menyaksikan pemenang akan membawa pulang hadiah utama USD 7,000.
Selain itu, anugerah istimewa juga akan diberikan bagi kategori Tarian Terbaik, Koreografer Terbaik dan Penari Muda Terbaik.
